Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Panglima ATM: Tiada mesej tersembunyi...
Diterbitkan:  Sep 11, 2008 2:46 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata kenyataannya mengenai isu perkauman yang dibangkitkan oleh ahli-ahli politik kebelakangan ini, adalah komen yang positif dan dengan niat yang baik.

general abdul aziz zainal "Saya hanya nyatakan komen itu dengan niat yang baik, tidak ada apa-apa mesej tersembunyi di sebalik kenyataan itu," katanya.

Oleh itu, beliau menafikan dakwaan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub bahawa ATM mencampuri pergolakan politik perkauman di negara ini.

"Tanggungjawab ATM adalah untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Maka adalah wajar untuk saya memberi nasihat untuk tidak mewujudkan satu senario yang huru-hara di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan perpaduan pelbagai masyarakat," katanya.

Abdul Aziz memberitahu pemberita demikian dalam wawancara sempena ulang tahun ke-75 ATM di ibunegara hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Semalam, Salahuddin berkata, kenyataan PAT perlu dipandang serius dan menegaskan ATM tidak patut campur tangan dalam hal politik tempatan serta mengamalkan dasar berkecuali.

Tiada motif politik

Abdul Aziz berkata ATM sebagai satu institusi profesional dalam menjaga keharmonian negara akan terus memastikan Malaysia bebas daripada sebarang ancaman atau kekecohan.

Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa penglibatan ATM dalam latihan bersama dengan Polis Diraja Malaysia adalah kerana keadaan ketenteraman awam negara bakal tegang.

"Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa latihan bersama PDRM adalah sebagai satu persiapan menghadapi situasi tidak diingini, ini bukan bererti negara kita dalam keadaan huru-hara.

"Jangan jadikannya sebagai satu alat politik. ATM mempunyai perancangan yang tersendiri dalam memastikan keamanan terus dipelihara dan kami akan sentiasa menabur bakti," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada ATM akan menerima peralihan kerajaan baru pada 16 Sept seperti yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Aziz berkata beliau tidak perlu memberi komen mengenai perkara itu memandangkan ia belum menjadi satu realiti.

"ATM masih setia kepada kerajaan semasa dan keselamatan negara adalah keutamaan kami. ATM tidak ada motif politik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS