Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Umno melakukan usaha mengukuhkan institusi raja-raja Melayu bagi menguatkan lagi peranannya sebagai pelindung rakyat khususnya orang Melayu serta agama Islam.
"Bukannya kita hendak kuasa lebih tetapi kita perlu kaji supaya institusi ini tidak boleh diperkotak-katik, dipersenda atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak," titah baginda dalam satu wawancara eksklusif dengan Khabar Pahang , akhbar rasmi kerajaan negeri Pahang.
Tengku Abdullah bertitah imuniti raja-raja, yang suatu ketika dulu telah dihapuskan secara tidak langsung, telah meletakkan institusi berkenaan berada dalam keadaan seolah-olah tidak kukuh dan mungkin menjadi tidak relevan, demikian menurut laporan Bernama.
Namun, baginda berharap, semua pihak harus sedar dan memahami bahawa institusi raja-raja Melayu telah memainkan peranan berkesan dalam arus pembangunan negara selama ini.
Tengku Abdullah menjelaskan bahawa ketika tokoh-tokoh kepimpinan negara berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, wakil raja-raja Melayu turut menyertainya termasuk dalam rundingan yang diadakan di London.
"Dalam hubungan ini, bukan soal siapa lebih berkuasa antara eksekutif, kerajaan yang memerintah dan institusi raja-raja (tetapi) yang penting ialah raja-raja Melayu dan juga parti yang memerintah, mempunyai semangat untuk 'co-exist' supaya kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," titah baginda.