Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk menentukan tindakan yang akan diambil terhadap ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail kerana membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap orang Cina.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusinya mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini. Parti Maju Sabah (SAPP) tidak dijemput menghadiri mesyuarat hari ini.

pak lah and bn leaders meeting on ahmad ismail racial slur umno bukit bendera penang 090908 05 Abdullah berkata, semua ketua parti komponen BN yang hadir, tanpa berkecuali seorang pun, telah melahirkan perasaan tidak dapat menerima sama sekali terhadap kenyataan Ahmad itu.

Sehubungan itu, katanya, mereka mahu satu tindakan yang tegas diambil.

Bagaimanapun, kata perdana menteri, BN tidak boleh mengambil tindakan ke atas Ahmad kerana beliau merupakan ahli Umno.

"Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini melahirkan perasaan yang tegas, kecewa dan marah tentang apa yang berlaku," kata Abdullah.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri semua ketua parti komponen BN serta naib-naib presiden Umno dan ketua pergerakan wanita BN.

Tindakan tegas

"Apa yang dicakapkan itu menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat, bukan hanya kepada bukan bumiputera tetapi juga bumiputera, iaitu orang Melayu.

pak lah and bn leaders meeting on ahmad ismail racial slur umno bukit bendera penang 090908 04 "Bukan hanya di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

"Apa yang telah dicakapkan oleh pemimpin dari Sabah dan Sarawak telah membayangkan perasaan yang terdapat di kedua negeri berkenaan," kata perdana menteri.

Mereka, tambah beliau, mahu supaya satu tindakan segera dan tegas diambil.

"Tetapi Ahmad sebagai ahli Umno, perlu melalui prosedur parti Umno dan dibawa kepada MT Umno," tambahnya.

Maka dengan itu, katanya, pemimpin BN telah mengakui prosedur tersebut dan menggesa supaya tindakan diambil dalam MT Umno secepat mungkin.

Ketika ditanya mengenai pertemuan antara Abdullah dengan Ahmad di Putrajaya tengahari tadi, perdana menteri enggan menjelaskannya.

"Selain saya, Datuk Najib (Tun Razak) dan Datuk Ali Rustam (naib presiden Umno) hadir dalam pertemuan tersebut.

Kod etika

"Bagaimanapun, tidak perlulah saya memberitahunya kerana orang sudah tengok televisyen dan You Tube," katanya.

Abdullah berkata, BN akan mengeluarkan kod etika bagi membolehkan tindakan serta merta diambil terhadap mana-mana parti yang mengeluarkan kenyataan dan berkelakuan yang tidak melambangkan semangat BN.

"Isu berkaitan dengan Akta Hasutan yang ada hubung kait dengan perlembagaan yang boleh dikatakan atau yang tidak boleh dikatakan termasuk dalam kod etika itu," katanya.

pak lah and bn leaders meeting on ahmad ismail racial slur umno bukit bendera penang 090908 03 Perdana menteri juga menegaskan BN mesti secara bersama menghadapi apa juga rintangan dan cabaran.

Sementara itu, pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, ketika ditemui, berkata beliau akan menunggu keputusan mesyuarat MT esok dan menilainya.

"Kita setuju supaya tindakan tegas diambil terhadap Ahmad," katanya.

Ketika ditanya Ahmad terus mengkritik Gerakan, Koh berkata, beliau tidak peduli kerana BN telah mengadakan mesyuarat hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS