Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail tetap enggan meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa kaum Cina adalah pendatang.
"Ini maruah, mereka tidak bagi saya minta maaf, bukan saya, saya tidak ada apa," katanya.
Beliau memberita wartawan selepas berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini.
Ahmad tiba jam 12.50 tengahari dan pertemuannya dengan Abdullah yang juga pengerusi BN, berakhir jam 2.45 petang.
Perdana menteri, kata Ahmad akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara petang ini.
Ahmad berkata, dalam perbincangan tersebut, Abdullah memberitahunya yang beliau (perdana menteri) mementingkan keselamatan dan kestabilan negara.
Ahmad juga mendakwa Gerakan membakar semangat orang Melayu termasuk memulakan serangan ke atas Umno.
Berikutan itu, katanya beliau terpaksa membakar semangat orang Melayu dalam kontek mempertahankan parti.
"Orang Cina kata saya perkauman, (tetapi) orang Melayu kata saya nasionalis dan ada orang yang suka dengan kenyataan saya itu," katanya.
Ahmad berkata, apa yang beliau lihat berlaku kebangkitan orang Melayu termasuk profesor, doktor dan kakitangan kerajaan.
"Dalam menjaga hati orang Cina, orang India, kita kena juga jaga orang Melayu," katanya.
Beliau juga mendakwa Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon yang memutuskan hubungan dengan Umno negeri itu.
Mengenai pertemuan dengan perdana menteri dan timbalan perdana menteri hari ini, Ahmad bekata, Abdullah ada memberi pandangan mengenai perkara tersebut.
Ahmad juga mengulas mengenai kenyataannya supaya Gerakan keluar BN.
"Jika saya kata Gerakan keluar BN salah, (bagaimana pula) dengan Pemuda Gerakan yang meminta supaya parti itu keluar daripada BN," katanya.