Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Ahmad akan dikenakan tindakan sewajarnya
Diterbitkan:  Sep 9, 2008 1:02 AM
Dikemaskini: 9:48 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan beliau "sangat tidak gembira" dengan kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail semalam yang menyalahkan Gerakan dan tetap mempertahankan kenyataannya yang berbau perkauman berhubung masyarakat Cina di negara ini.

Dalam sidang akhbar ringkas di majlis berbuka puasa di Wisma Putra di Putrajaya, Abdullah berkata kenyataan Ahmad itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

"Saya sangat tidak gembira dengan situasi ini, Saya akan mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini. Semestinya," katanya, demikian menurut laporan Bernama.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan Ahmad dalam sidang akhbar di bangunan Umno Pulau Pinang semalam yang menyalahkan Gerakan dan tetap mempertahankan pendiriannya berhubung kenyataannya yang berbaur perkauman bahawa masyarakat Cina merupakan pendatang di negara ini.

Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan itu ketika berceramah sewaktu kempen pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata tindakan yang sewajarnya ke atas Ahmad akan diputuskan selepas beliau dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak bersemuka dengan Ahmad esok bagi mendapatkan penjelasan daripadanya.

"Kami akan minta beliau (Ahmad) menjelaskan mengapa keadaan sedemikian berlaku dan tindakan akan diputuskan (selepas itu)," katanya.

Sementara itu Abdullah enggan mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dalam blognya bahawa peristiwa 13 Mei akan kembali berulang sekiranya peralihan kuasa pucuk pimpinan negara tidak dilakukan dengan segera.

"Tak payahlah cerita pasal blog hari ini," tegasnya.

ADS