Demi martabat Melayu, ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berkata beliau tidak akan memohon maaf dan sanggup menghadapi risikonya.
Bercakap dalam sidang akhbar hari ini, beliau berkata, ini bukan soal parti tetapi adalah soal maruah dan martabat Melayu serta agama Islam.
"Kami bersyukur YAB Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) faham tentang isu tersebut dan ini boleh kita nilai sendiri dari kenyataan akhbar yang dibuat oleh beliau sebaik sahaja selesai mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang.
"Pak Lah telah meminta saya untuk membuat satu lagi sidang akhbar - maka inilah kita adakan sidang akhbar pada hari ini," kata Ahmad.
Beliau juga berterima kasih kepada badan perhubungan Umno negeri yang telah membuat keputusan melantik peguam bagi mengkaji dan seterusnya mengambil tindakan menyaman wartawan yang didakwa telah sengaja menjadikan isu tersebut begitu sensasi dan kontroversi.
Katanya, tindakan itu juga akan turut diambil terhadap akhbar Sin Chew Daily yang didakwanya sengaja menerbitkan laporan yang berbau perkauman.
"Saya telah difahamkan juga bahawa ada akhbar yang telah melaporkan bahawa kononnya saya, di dalam sidang akhbar saya pada 5 September yang lalu, kononnya saya telah menafikan yang saya ada menyatakan bahawa "orang-orang Cina adalah menumpang di negara ini".
"Ini adalah satu permainan jahat yang mahu merosakkan kredibiliti saya," katanya.
'Ambil kesempatan'
Ahmad juga mendakwa bahawa beberapa pemimpin Gerakan sengaja mengambil kesempatan dan telah mengembar-gemburkan fakta menjadi isu-isu tersebut lebih nampak perkauman.
Beliau mendakwa, mereka berbuat demikian "untuk menyembunyikan kelemahan diri sendiri dan cuba menjadikan isu ini sebagai "kambing hitam" dan telah "cuba lari dari hakikat bahawa orang Cina sudah tidak lagi menyokong mereka".
Dakwanya lagi, keadan menjadi gawat lagi bila pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon dan beberapa pemimpin Gerakan serta pemimpin Cina sengaja membuat kenyataan-kenyataan yang melambangkan perkauman.
Sidang akhbar tersebut, yang berlangsung di ibupejabat Umno Pulau Pinang petang tadi berakhir dengan laungan ‘Hidup Melayu' oleh kira-kira 50 pemimpin Umno.
Sebaik sahaja sidang akhbar itu tamat, bekas ahli badan perhubungan Umno negeri, Zainol Abidin Hashim, dengan bantuan rakan-rakannya telah menurunkan gambar Dr Koh dari dinding ibupejabat Umno tersebut.
Zainol kemudiannya mengeluarkan gambar Dr Koh dari bingkai gambar dan mengoyaknya.
Jumaat lalu, Ahmad telah mengadakan sidang akhbar di mana beliau menegaskan tidak akan memohon atas atas kenyataannya itu.
Pendirian beliau itu disokong oleh kesemua 13 ketua bahagian Umno Pulau Pinang.
Sementara itu, dalam reaksinya, AbduIlah dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengadakan pertemuan dengan Ahmad esok. Dipercayai tindakan akan diambil terhadap ketua Umno Bukit Bendera itu.