Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz mahu selamat Umno
Diterbitkan:  Sep 6, 2008 7:27 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Demi untuk menyelamatkan dan memperkasakan semula Umno, ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia Disember ini.

Menurutnya, krisis kepimpinan pada hari ini menghilangkan kegemilangan yang telah dibina kerajaan "dan seolah-olah kita kini bermasalah mengurus kejayaan kita sendiri.

mukhriz announce contest 060908 "Saya berpendapat bahawa ini berlaku kerana kita telah tinggalkan perjuangan Umno yang sebenar, yakni perjuangan agama, bangsa dan negara," ketika berucap mengumumkan keputusannya di Pondok Maharizan, Titi Gajah, Alor Star Kedah petang tadi.

"Kita tidak lagi memegang teguh kepada sifat-sifat mulia yang dituntut bagi pemimpin di semua peringkat dan parti politik. Keputusan pilihanraya umum ke-12 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh adalah bukti bahawa rakyat tidak lagi percayakan kita.

"Malah rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional kini mempersoalkan kredibiliti kepimpinan Umno. Ini telah membolehkan parti-parti membangkang mengambil kesempatan.

"Saya sedar ada di kalangan kita yang merasakan diri mereka kerdil dan tidak bertenaga untuk membuat perubahan.

Pulih keyakinan rakyat

"Ada di kalangan mereka yang juga percaya bahawa Umno akan membetulkan dirinya sendiri.

"Jika ini menjadi kepercayaan dan sikap ahli Umno, maka jangan terkejut jikalau hayat Umno berakhir," kata Mukhriz lagi.

Ahli Umno, tegasnya, harus sanggup membuat perubahan yang mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Umno.

"Kita mesti membersihkan diri dari sebarang sifat keji dan amanah memegang tanggungjawab terhadap rakyat. Kita juga mesti sanggup berkorban dan menolak semua amalan yang membinasakan.

"Kita mesti sanggup berkorban sekali lagi jika kita mahu menyelamatkan Umno. Saya menyeru semua pihak untuk bersama saya menyelamatkan dan memperkasakan semula Umno.

"Bagi tujuan itu, saya bersedia memikul tanggungjawab dan amanah ini. Saya juga yakin bahawa saya bukan berseorangan dalam perjuangan ini.

Lantang mengkritik

"Demi meneruskan perjuangan ini, saya dengan rendah diri dan dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, menawarkan diri untuk dipilih sebagai ketua pergerakan Pemuda

Umno Malaysia," katanya.

khir toyo 181207 Mukhriz adalah pemimpin kedua selepas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mengumumkan untuk berebut jawatan tersebut yang dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammudin Hussein.

Dua lagi calon yang telah menyatakan minat mereka untuk turut bertanding jawatan berkenaan ialah menteri besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob dan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Mukhriz, 44, adalah anak bungsu mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepertimana bapanya, Mukhriz juga lantang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS