Bercanggah dengan apa yang didakwa oleh majikannya - Hospital Pusrawi - Dr Mohd Osman Abdul Hamid bertegas bahawa beliau melakukan pemeriksaan berkaitan dengan liwat ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun lalu.
Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, doktor berketurunan Burma itu berkata prosedur yang dikenali sebagai 'per-rectal examination' adalah 'wajib' diketahui setiap doktor.
"Setiap doktor tahu bagaimana melakukannya, itu adalah amalan biasa (seseorang itu) tidak perlu menjadi pakar untuk melakukan pemeriksaan tersebut," katanya ketika menjelaskan bagaimana pemeriksaan itu dilakukan.
Dr Osman muncul semalam selepas 'hilang' selama lebih sebulan sejak laporan perubatannya, yang memutuskan bahawa Saiful tidak diliwat, telah dibocorkan kepada pihak media.
Berikutan itu, Hospital Pusrawi menegaskan bahawa Osman tidak melakukan pemeriksaan berkaitan dengan liwat ke atas pesakitnya itu.
Saiful, 23, telah mendakwa bahawa bekas majikannya, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meliwatnya dan kes itu telah dibawa ke mahkamah.
Dr Osman kemudiannya membuat akuan berkanun yang mempertahankan keputusan laporan perubatannya ke atas Saiful.
Dr Osman, yang ditemani peguamnya - M Puravalen dan Yusri Kamarudin - menegaskan sekali lagi perkara itu dalam satu sidang akhbar semalam.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Dr Osman juga menyangkal dakwaan majikannya bahawa beliau tidak berkelayakan untuk membuat kesimpulan mengenai kes liwat.
Pihak pengurusan Hospital Pusrawi telah menyatakan bahawa Dr Osman tidak layak membuat kesimpulan tersebut kerana beliau adalah seorang doktor yang ditempatkan di unit kecemasan dan bukannya seorang pakar.
Baca berita penuh