Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak akan memohon maaf walaupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbuat demikian.

Sebaliknya, kata Ahmad, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

ahmad ismail umno bukit bendera Ini merupakan reaksi pertamanya sejak tercetusnya kontroversi itu minggu lalu, ekoran ceramahnya sewaktu pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh yang didakwa telah menyinggung perasaan masyarakat Cina negara ini.

Beliau didakwa berkata orang Cina adalah pendatang dan tidak layak mendapat hak sama seperti Melayu.

Sehubungan itu, Gerakan, MCA dan DAP telah mendesak Ahmad supaya menarik balik kenyataannya dan memohon maaf. Pemuda DAP (Dapsy) juga membuat laporan polis terhadap Ahmad.

Menurut Ahmad, beliau tidak berkata atau melakukan sebarang kesalahan, dan oleh itu, tiada sebab baginya untuk memohon maaf.

Katanya, beliau akan mengadakan sidang akhbar khas di bangunan Umno Pulau Pinang Sabtu ini berhubung isu tersebut.

Sidang akhbar itu akan diadakan selepas mesyuarat badan perhubungan Umno negeri yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil menafikan bahawa kenyataannya itu berbaur perkauman, Ahmad berkata, beliau berkawan dengan orang Cina dan India sejak kecil lagi.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak pernah dan tidak akan menjadi seorang yang bersifat perkauman.

Ahmad turut mengecam laporan media yang menuduh beliau mengelak daripada bertemu dengan wartawan dan jurugambar yang menunggunya di luar balai polis Seberang Perai Pusat di Bandar Baru Perda sejak dua hari lalu.

"Saya tidak minta mereka tunggu. Jadi mengapa mereka tuduh saya lari dari mereka?" soalnya.

Ahmad telah memberi kenyataan di balai polis negeri di Georgetown malam tadi, ekoran beberapa laporan yang telah dibuat terhadapnya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(B) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 dan penjara minimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Berita asal


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS