Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin hari ini dinasihatkan agar menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dengan baik dan tidak mencari alasan untuk menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahannya.

"Pemimpin utama tegur, kenalah terima teguran itu. Jangan salahkan orang lain," kata Timbalan Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Pirdaus Ismail.

mohammad fairuz mohd fairus 040808 Beliau diminta mengulas kenyataan Fairus (foto) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, yang mendakwa ahli-ahli Umno sengaja menuduh beliau jarang melawat kawasannya selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Semalam Fairus dilaporkan berkata, ahli-ahli Umno di situ cemburu kerana beliau merupakan timbalan ketua menteri yang termuda dalam sejarah Pulau Pinang.

Ahad lalu, penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Fairus supaya lebih kerap turun ke padang bagi menyelesaikan masalah rakyat walaupun sibuk sebagai timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang.

Menurut Anwar, rakyat boleh faham dan terima sekiranya sibuk bertugas tetapi rakyat tidak boleh terima sekiranya, sebagai wakil rakyat, tidak turun padang.

Perlu bermuhasabah diri

firdaus ismail Mengulas lanjut, Pirdaus (foto) juga menasihatkan Fairus, jika ingin menjadi pemimpin besar, "telinga kena besar dan berjiwa besar".

Sehubungan itu, tambah beliau, Fairus harus akur dengan teguran pemimpin dan bermuhasabah diri dan teruskan kerja.

"Rakyat nak tengok dia buat kerja, bukan nak tengok dia buat penafian,"jelas Pirdaus.

Bekas imam besar Masjid Negara itu juga berkata, Fairus juga tidak boleh menyalahkan Umno kerana teguran itu datang daripada penasihat PKR sendiri.

"Pemimpin agung (mereka) cakap, takkan nak semberono. Takkan Anwar nak dengar cakap Umno," tegas Pirdaus lagi.

Bagaimanapun, Pirdaus menasihatkan Fairus supaya jangan menimbulkan lagi isu tersebut dan menasihatkan beliau agar turun menemui rakyat seperti dinasihatkan pemimpinnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS