Siasatan polis berhubung kenyataan yang didakwa berbau perkauman oleh ketua bahagian Umno Bukit Bendera, Pulau Pinang akan disiapkan secepat mungkin, kata Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Salleh Mat Rasid.
Polis akan mengambil keterangan Datuk Ahmad Ismail minggu ini berhubung kenyataannya yang didakwa menyebut Cina sebagai penumpang di negara ini dan tidak seharusnya mengharapkan mereka mendapat layanan yang sama rata.
Salleh juga berkata selain Ahmad, polis akan mengambil keterangan saksi-saksi yeng terlibat bagi melengkapkan siasatan kes itu sepenuhnya.
"Kita akan merakam percakapan saksi-saksi yang terlibat termasuk Ahmad dalam minggu ini. Kita sudah jejaki Ahmad, beliau berada di negeri ini dan kita akan panggil beliau secepat mungkin.
"Kita harap kes itu dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan mainkan isu itu dan kita juga minta semua pihak jangan mainkan isu perkauman.
"Serahkan pada polis untuk menjalankan siasatan," katanya, lapor Bernama , pada sidang akhbar hari ini.
Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut sewaktu satu ceramah di Kampung Belah Dua dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas.
Salleh berkata sehingga hari ini polis telah menerima lima laporan polis ari pelbagai pihak berhubung kenyataan Ahmad itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Aduan-aduan itu masing-masing dari balai-balai polis Bukit
Mertajam, Datuk Keramat dan Jalan Pattani (Pulau Pinang), Tun HS Lee (Kuala Lumpur) dan Petaling Jaya.
Akhbar hari ini melaporkan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bagi pihak Umno secara terbuka memohon maaf terhadap kenyataan itu danberharap orang bukan Melayu tidak terlalu terganggu dengan kenyataan Ahmad yang disifatkan Najib bersifat peribadi.
Najib berkata Majlis Tertinggi parti itu pada mesyuarat akan datang akan memutuskan "tindakan sesuai" terhadap ketua bahagian itu.