Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenyataan Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang didakwa berunsur perkauman, tidak boleh dianggap sebagai mewakili 'suara Umno', kata pergerakan Pemuda Umno Perak.

Ketuanya, Zainol Padzi Paharudin menyifatkan kenyataan Ahmad itu lebih berbentuk peribadi dan tidak mewakili suara pemimpin Umno negeri Pulau Pinang dan negara.

"Umno bukan sebuah parti perkauman," katanya ketika diminta mengulas desakan Gerakan, DAP dan MCA supaya Ahmad menarik balik kenyataannya dan memohon maaf masyarakat Cina.

Ahmad didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan itu sewaktu berceramah di Kampung Belah Dua pada 25 Ogos lalu ketika pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Dalam ceramah tersebut, Ahmad didakwa berkata, orang Cina adalah pendatang yang menumpang di Malaysia dan oleh itu mereka boleh mengharap mendapat layanan sama rata.

Ahmad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya sejak tercetusnya kontroversi tersebut Isnin lalu.

Pemuda DAP (Dapsy) telah membuat laporan polis di Perak, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan terhadap Ahmad.

Perkongsian kuasa

Parti-parti komponen BN - MCA dan Gerakan - juga telah membuat laporan polis berhubung isu yang sama beberapa hari yang lalu.

Mengulas lanjut mengenainya, Zainol berkata, Ahmad ketika itu berucap di hadapan majoriti orang Melayu untuk menaikkan semangat mereka sewaktu pilihanraya.

"Bila bercakap banyak, kadang-kadang kita terlupa... jadi jangan bersentimen. Oleh itu, Gerakan harus faham tentang perkongsian kuasa.

"(Oleh itu) Gerakan harus bertanggungjawab menjaga ahli-ahlinya supaya tidak bertindak sehingga sampai ke tahap mengganggu (parti-parti komponen BN yang lain)," katanya.

Sehubungan itu, Zainol berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan Gerakan mengugut untuk meninggalkan BN.

Katanya, sepertimana Umno, Gerakan juga perlu mencermin diri dan mengenalpasti kelemahan yang ada untuk diperbaiki.

"Jangan cari benda-benda yang boleh merosakkan keadaan," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS