Kecaman terhadap Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berterusan kerana didakwa membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap kaum Cina sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini, dan semalam, satu lagi laporan polis dibuat terhadapnya.
Laporan itu dibuat oleh Pemuda DAP (Dapsy) di balai polis Jalan Patani di Pulau Pinang yang menuntut polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ahmad yang didakwanya membuat kenyataan berunsur hasutan itu sewaktu berceramah di Kampung Belah Dua pada 25 Ogos lalu.
Empat pemimpin Dapsy yang diketuai oleh setiausaha politik ketua menteri Lim Guan Eng - Ng Wei Aik - membuat laporan tersebut. Mereka menuntut supaya polis menggunakan Akta Hasutan 1948 ke atas Ahmad kerana berkata orang Cina menumpang di negara ini.
Dapsy membuat laporan polis itu selepas Ahmad (foto) gagal menarik balik kenyataannya itu dan memohon maaf kepada masyarakat Cina menjelang 31 Ogos lalu.
Ng berkata, pihak polis perlu menunjukkan bahawa ia bebas untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Umo, dan bukan hanya terhadap lawan Barisan Nasional dan Umno.
Dalam ceramah tersebut, Ahmad didakwa berkata, orang Cina adalah pendatang yang menumpang di Malaysia dan oleh itu mereka tidak boleh mengharap mendapat layanan sama rata.
Ahmad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya sejak tercetusnya kontroversi tersebut Isnin lalu.
Pemimpin Dapsy telah membuat laporan polis di Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan terhadap Ahmad.
Parti-parti komponen BN - MCA dan Gerakan - juga telah membuat laporan polis berhubung isu yang sama beberapa hari yang lalu.
Malah ketua MCA bahagian Bukit Bendera, Quah Eng Lam dan naib ketuanya, Tan Khai Beng telah menggesa Umno supaya memecat Ahmad sebagai pengajaran kepada yang lain.
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula menggesa BN supaya menyediakan kod etika sebagai garispanduan kepada para pemimpin dan ahli parti komponannya.
Manakala Naib Presidennya, Datuk Dr Teng Hock Nan pula mengkritik Ahmad kerana tidak sensitif dan tidak menarik balik kenyataannya serta memohon maaf kerana membuat kenyataan yang didakwa berunsur perkauman itu.