Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sambutan ulang tahun kemerdekaan
Diterbitkan:  Aug 31, 2008 3:22 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51 hari ini - ada yang gembira dan mungkin pula ada yang muram ekoran kenaikan harga minyak yang turut mengakibatkan kenaikan harga barang.

Pastinya kakitangan kerajaan gembira dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pemberian bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 ketika membentangkan bajet 2009 Jumaat lalu.

Bayaran pertama bonus bulan depan tentunya dapat meringankan beban mereka untuk menyambut Ramadhan dan Hari Raya Puasa.

Manakala bayaran bonus kali kedua Disember ini akan meringankan beban mereka untuk menyediakan persiapan untuk anak-anak bersekolah.

Pesara kerajaan pula akan bergembira apabila tahap pencen minimum kini dinaikkan kepada RM720.

Bagaimanapun nasib golongan yang berpendapatan sederhana mungkin tidak sebaik kira-kira 1.2 juta kakitangan awam berkenaan.

Mereka juga akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Puasa. Begitu juga mereka perlu membuat persiapan anak-anak sekolah Disember ini.

Walaupun dalam bajet 2009, Abdullah pengumuman pengecualian bayaran elektrik bagi mereka yang bilnya RM20 ke bawah, tetapi manfaatnya mungkin tidak sampai kepada golongan pendapatan pertengahan.

Masalah perumahan

Mereka ini tidak layak untuk mendapat kemudahan yang disediakan kepada golongan berpendapat rendah, terutamanya dalam soal perumahan.

Dan pada masa yang sama, mereka juga tidak mampu membelil rumah lain yang mahal harganya. Akhirnya, golongan pertengahan ini terpaksa 'merempat" di kawasan setinggan.

Kenaikan harga minyak menambahkan lagi beban golongan berkenaan.

Begitu juga negara masih berdepan dengan isu-isu yang berkaitan dengan soal perpaduan nasional, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan isu-isu yang berkaitan dengan soal keagamaan.

Sementara itu, menurut Bernama, perbarisan ulang tahun ke-51 ulang tahun kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka pagi ini dimulakan dengan perarakan Jalur Gemilang raksaksa dan bendera negeri oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) termasuk kontinjen 30 tokoh negara dalam pelbagai bidang.

Mereka termasuk angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek, aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye dan aktivis alam sekitar Karam Singh Walia yang diarak dengan kereta buatan nasional sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada negara.

Murid prasekolah

Buat pertama kali kontinjen paling muda, seramai 150 murid prasekolah turut menyertai perbarisan dan perarakan raksaksa ini yang disertai 16,433 peserta termasuk pesara polis.

Bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan", perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur

Zahirah.

Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri Datin Seri Jeanne Abdullah tiba dengan memandu sendiri kereta elektrik inisiatif Malaysia Proton Persona putih.

Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba dengan memandu sendiri kereta Proton Savvy berwarna merah.

Acara perhimpunan dan perbarisan dimulakan dengan berkumandangnya lagu "NegaraKu" yang turut diiringi dengan lintas hormat udara oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Angkatan Tentera Malaysia sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning, warna bendera Malaysia.

Persembahan padang

Tuanku Mizan turut berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu "Negaraku" dan tembakan meriam 14 das.

Acara seterusnya diikuti dengan lagu-lagu patriotik Jalur Gemilang, Cemerlang, Gemilang, Terbilang, dan lagu tema sambutan "Perpaduan Teras Kejayaan", disampaikan oleh 2,000 peserta kumpulan koir dari

institusi perguruan.

Upacara bacaan ikrar "Rukun Negara" dilakukan oleh tujuh pelajar sekolah menengah yang mewakili pelbagai kaum di negara ini diketuai oleh Mohd Hafizul Akhmal Azeman yang disusuli dengan laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.

Dataran Merdeka kemudiannya bertukar suasana apabila seramai 2,880 pelajar sekolah menyajikan persembahan padang yang penuh warna-warni bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan" yang merangkumi gabungan persembahan puisidra (puisi dan drama), kawad formasi dan seni mempertahankan diri serta senamrobik yang diselang seli dengan pembentukan 'grafik manusia' oleh para pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perbarisan hampir dua jam yang berakhir pada jam 10.10 pagi ini turut disaksikan ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong yang mula membanjiri Dataran Merdeka seawal pukul 6.30 pagi selain jutaan lagi yang menonton menerusi siaran langsung di televisyen.

Sambutan yang sama turut diadakan di peringkat negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS