Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis '88: Peguam lancar laporan bersih nama hakim
Diterbitkan:  Aug 29, 2008 7:53 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Hasil siasatan dalam laporan yang disediakan oleh sebuah panel tokoh-tokoh terkemuka bagi membersihkan nama enam hakim yang terjejas dalam krisis kehakiman 1988 dari sebarang salah laku, dilancarkan oleh Badan Peguam Malaysia hari ini.

Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga berkata sebuah panel enam tokoh terkemuka itu dibentuk pada Ogos tahun lalu untuk mengkaji, menyiasat, menyemak dan menyediakan laporan selepas badan Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Antarabangsa (IBA), LAWASIA dan Transparency International-Malaysia membentuk sebuah jawatankuasa bersama bagi menjalankan kajian mengenai krisis itu.

Bernama memetik beliau sebagai berkata panel itu dibentuk bagi membetulkan rekod terhadap hakim-hakim terjejas yang sama ada digantung jawatan atau disingkirkan sebagai hakim berikutan penubuhan sebuah tribunal yang menyiasat dakwaan salah laku terhadap mereka.

Ambiga berkata, laporan itu mengandungi prinsip-prinsip dan garis panduan universal mengenai isu kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman, akan dikemukakan kepada kerajaan serta Persatuan Peguam di seluruh dunia dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

"Tujuan (laporan itu) ialah untuk membetulkan rekod. Bagi badan peguam, kami tahu hakim-hakim ini tidak bersalah tetapi malangya terdapat rekod bercetak yang mengatakan sebaliknya, jadi kami berpendapat adalah perlu membetulkan rekod itu," kata Ambiga di majlis pelancaran laporan itu di Auditorium Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

"Kami (Majlis Peguam) telah digelar dengan pelbagai nama dulu - pro-pembangkang, anti-kerajaan, pro-kerajaan dan baru-baru ini dengan beberapa nama lagi. Tetapi sejarah dan tingkah laku kami menunjukkan hanya satu label sebenarnya yang menyifatkan majlis ini sebagai pro-keadilan. Majlis ini sebenarnya sebuah organisasi Malaysia yang memperjuangkan impian Malaysia mewujudkan sebuah

masyarakat adil," kata Ambiga.

Dalam krisis kehakiman itu, Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan hakim-hakim Mahkamah Agung Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah telah dipecat dari jawatan.

Tiga hakim lain yang digantung jawatan tetapi kemudiannya dikekalkan semula jawatan ialah allahyarham Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh.

Gesa bebas tahanan ISA

Panel tokoh terkemuka itu terdiri daripada Ketua Hakim bersara Supreme Court India Hakim J.S.Verma, Hakim bersara Supreme Court Pakistan Hakim Fakhruddin G. Ebrahim, Peguam bela Supreme Court Pakistan Dr Ms. Asma Jahangir, Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas Presiden LAWASIA Dr Gordon Hughes dan rakan kanan di firma undang-undang Azman Davidson & Co Datuk W.S.W Davidson.

Ambiga berkata: "Ada kalangan berpendapat bahawa peristiwa 1988 harus dibiarkan berlalu dan kita harus bergerak ke depan. Bagaimanapun, kami percaya proses kebenaran dan perdamaian adalah kritikal sebelum kita boleh bergerak ke depan, oleh kerana ketidakadilan yang berlaku pada 1988 tidak boleh dibiarkan tanpa penyelesaikan dan diperakui dalam sejarah negara. Kami percaya ini adalah langkah pertama yang penting dalam proses reformasi kehakiman".

Beliau berkata kerajaan telahpun memperakui kesilapan yang telah dilakukan terhadap hakim-hakim yang terjejas dalam krisis itu dengan memberi mereka atau keluarga mereka bayaran ex-gratia, dan menambah laporan itu dalam satu cara, mengesahkan tindakan kerajaan dalam memberi bayaran tersebut dan dengannya isu krisis itu harus ditutup.

Ambiga, bagaimana menggesa Kerajaan mempercepat proses pembentukan suruhanjaya pelantikan kehakiman serta proses reformasi kehakiman.

Dalam hal berkaitan, Ambiga, dalam ucapannya juga menyeru supaya 66 tahanan ISA termasuk pemimpin-pemimpin Hindraf di pusat tahanan Kamunting dibebaskan segera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS