Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN tewas: Tiada lagi wibawa PM, Najib
Diterbitkan:  Aug 27, 2008 12:41 PM
Dikemaskini: 2:02 PM

dikemaskini Kemenangan PKR semalam di Permatang Pauh dengan majoriti lebih besar membuktikan lagi BN telah ditolak oleh ahli-ahlinya sendiri dan kewibawaan perdana menteri serta timbalannya terhakis sepenuhnya, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

"Jumlah undi yang diperolehi BN kurang daripada bilangan ahli-ahli Umno di kawasan (parlimen) itu," katanya.

Dalam kenyataannya mengulas kemenangan besar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil itu, ahli parlimen Gua Musang berkata BN tetap tewas walaupun seluruh sumber dan kepimpinannya dikerahkan untuk berdepan tokoh pembangkang itu.

Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi - peningkatan lebih 2,000 undi berbanding yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebanyak 13,388 pada pilihanraya umum Mac lepas.

Menurut satu analisis Bernama hari ini, daripada 58,459, sebanyak 26,942 pemilih anggota parti komponen BN, termasuk Umno seramai 19,442 anggota di kawasan parlimen berkenaan.

Gerakan pula mempunyai 2,900 anggota, MCA (2,400), MIC (1,700) dan PPP (500) anggota yang layak mengundi.

Bagaimanapun, calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah berjaya mengutip 15,524 undi - membayangkan 11,418 lagi anggota BN tidak memangkah calon parti itu sendiri atau tidak keluar mengundi.

Tengku Razaleigh menambah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memikul beban ketewasan ini.

"Mustahil untuk disembunyikan: beliau tidak memiliki lagi sekelumit kewibawaan yang perlu untuk mentadbir negara dari hari ke hari, apatah lagi mengatur arah baru yang kita semua perlukan untuk maju dalam dunia yang kompleks," katanya, yang juga popular dipanggil Ku Li.

Kekalahan di Permatang Pauh, selain ketiadaan pemimpin yang jelas memandu arah, parti-parti komponen BN juga gagal menyelaras kerja-kerja kempen ketika berhadapan dengan parti pembangkang yang sedang bersemangat, katanya.

"Saya menyeru ahli-ahli Umno dan parti-parti komponen BN sentiasa bersama dengan parti dalam saat dilanda krisis ini dan mengambil perspektif sejarah secara tenang.

"Rakyat Malaysia dan bersama dengan mereka, ahli-ahli Umno, telah menemui suara demokratik mereka," kata Tengku Razaleigh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS