Tiga buah bas - sebuah daripadanya membawa penumpang - telah dibawa ke balai polis di Permatang Pauh selepas penyokong PKR percaya mereka digunakan untuk membawa pengundi hantu.
Bas-bas dan penumpang berkenaan kini berada di balai polis Seberang jaya, manakala pemimpin PKR, N Gobalakrishnan, yang juga ahli Parlimen Padang Seri, telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Dan pada kira-kira jam 5.30 petang, dua buah bas lagi yang disyaki membawa pengundi hantu, dibawa ke balai polis.
Gobalakrishman memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah dimaklumkan bahawa enam buah bas yang membawa pengundi hantu, akan tiba di Permatang Pauh pada kira-kira 3 petang.
Selepas diperiksa, penyokong PKR mendapati dua buah bas kosong diletakkan di sepanjang Lebuhraya Butterworth-Kulim, dan diperhatikan oleh anggota polis.
Penyokong PKR kemudiannya diberitahu anggota polis tersebut bahawa bas tersebut sedang menunggu pengundi pulang dari mengundi.
Gobalakishman kemudian berkeras supaya bas-bas tersebut dibawa ke balai polis sementara menunggu laporan polis dibuat.
Dan dalam perjalanan ke balai polis, kumpulan PKR itu menemui sebuah lagi bas masuk ke Permatang Pauh. Bas ketiga ini penuh dengan penumpang.
Gobalakrishnan juga berkata, bas tersebut juga turut dibawa ke balai polis, bersama dengan dengan penumpangnya.
Difahamkan daripada salah seorang pemandunya, bas-bas tersebut datang dari Melaka.
Bas-bas tersebut menggunakan plet pendaftaran Pahang, Melaka, dan Kuala Lumpur. Sebuah daripadanya didapati didaftar di alamat bangunan Umno di Melaka.
Sepasukan polis telah dikejarkan ke balai polis berkenaan bersama sebuah trak meriam air.
Gobalakrishnan dan Setiausaha Agung PKR, Sallehuddin Hashim masuk ke balai polis untuk membuat laporan polis, tetapi keluar 30 minit kemudian dengan tangan kosong.
Gobalakrishnan memberitahu kira-kira 50 penyokong PKR di luar bangunan balai bahawa pihak polis terlalu sibuk untuk menerima laporan mereka. katanya, beliau akan mencuba lagi kemudian.
Gobala dan anak ditahan
Dan dalam satu lagi perkembangan dramatik, ketika Gobalakrishnan pergi semula ke balai polis berkenaan, beliau telah ditangkap bersama dua orang anaknya kerana "memberhentikan bas-bas tersebut".
Anaknya - Arvind, 20, dan Pravin, 23 - juga didakwa dikasari anggota polis sebelum mereka ditangkap.
Polis juga bertindak menyuraikan orang ramai dari balai tersebut.
Lihat liputan lengkap Pengundian di Permatang Pauh