kemaskini 9:01pm Berbeza dengan sebuah persatuan pelajar Islam yang menganggap penampilan dan muzik Avril Lavigne boleh diterima, Pemuda PAS tetap menyifatkan penyanyi punk pop itu "mengghairahkan dan seksi."
Timbalan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan tidak bersetuju dengan pandangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) semalam.
"Dalam video klip di televisyen, Avril adalah penyanyi yang memaparkan tarian mengghairahkan.
"Avril adalah penyanyi seksi dan penampilannya, saya anggap, sebaris dengan Mariah Carey," katanya kepada
Malaysiakini
, diminta
mengulas presiden PKPIM
Mohd Hilmi Ramli yang berpendapat "lebih baik sedikit daripada artis-artis luar negara" yang pernah membuat persembahan di Malaysia.
"Lagu-lagunya tidak membentuk etika dan moral yang baik, leka dan melalaikan," kata Nasrudin.
PKPIM hari ini menjelaskan, ia tidak menyokong konsert itu tetapi berbanding artis Barat yang pernah dibantahnya Ogos tahun lalu, Gwen Stefani (foto bawah) , penampilan Lavigne "lebih sopan sedikit."
"Jika dibandingkan bantahan kita dengan konsert Stefani yang lalu, kita memang berhabis-habisan (all out) sebab personaliti dan lagu yang melampau.
"Konsert Avril kita tidak ada kekuatan untuk berdemontrasi kerana
kelemahan kita sendiri. Cuma jika dibandingkan dengan Stefani, Avril nampak lebih sopan sikit," kata Mohd Hilmi.
"Namun, bukan bermakna saya setuju dengan konsert diadakan."
Nasrudin menambah, kalau generasi muda ingin berhibur, masih ada artis lain yang tidak keterlaluan, berpakaian tidak seksi dan tidak menampilkan gerak-geri yang merangsangkan nafsu serta lagu-lagu yang tidak memuja wanita dan dadah.
"Pemuda PAS tidak ada halangan, tidak jumud untuk menerimanya (artis sedemikian)," katanya.
Nasrudin bagaimanapun enggan menamakan artis dan kumpulan seniman yang dimaksudkannya.
Konsert penyanyi muda kelahiran Kanada itu yang dijadualkan diadakan Jumaat ini tidak sesuai diadakan dengan alasan ia tidak menghormati kedatangan Ramadhan yang akan bermula awal bulan depan.
Beliau juga menjelaskan, konsert itu juga diadakan dengan tarikh sambutan kemerdekaan Malaysia.
"Lazimnya, sambutan kemerdekaan disambut dengan bacaan tahlil atau forum-forum motivasi untuk meniupkan semangat patriotik, tetapi program (konsert) ini mengganggu dan bertentangan dengan budaya dan adat orang timur terutama orang Islam," kata Nasrudin.
Pemuda PAS, tambahnya, mengecam sikap kerajaan yang sering mengagungkan muzik dan budaya Barat sehingga mempengaruhi masyarakat dan anak muda di negara ini.
Menurutnya lagi, Dewan Pemuda PAS bagaimanapun tidak akan berdemonstrasi membantah konsert itu di Stadium Merdeka.
Sebaliknya, mereka akan hadir di luar pintu masuk pada hari konsert untuk mengedarkan risalah "untuk menasihati pengunjung agar membatalkan hasrat mereka" menontonnya.
Sementara itu Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan menyerahkan memorandum bantahan jam 11 pagi esok kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berhubung penganjuran konsert Lavigne yang dibenarkan semula 23 Ogos lalu.
