Seseorang yang menang dalam pilihanraya Permatang Pauh hari ini tidak semestinya mengangkat sumpah jawatan anggota Dewan Rakyat dalam minggu ini.
"Tiada keperluan untuk beliau mengangkat sumpah dengan segera. Bukannya ada perebutan kuasa," kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Mengapa perlu tergesa-gesa. Kita tidak boleh membuat andaian bahawa orang yang menang pilihanraya itu akan terburu-buru datang dan berbahas dengan Speaker dan angkat sumpah.
"Mana tahu dia mahu pergi holiday -kah, pergi umrahkah," beliau dipetik berkata kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen semalam.
Menurut Bernama , Pandikar Amin diminta mengulas sama ada ahli parlimen Permatang Pauh akan mengangkat sumpah jawatan segera, sebaik memenangi pilihanraya tersebut awal malam ini.
Dewan Rakyat sedang bersidang minggu ini, termasuk pembentangan Bajet 2009 pada Jumaat ini.
Pandikar Amin berkata, beliau akan menunggu notis rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu sebelum menetapkan tarikh dengan persetujuan wakil rakyat Permatang Pauh yang terpilih nanti untuk acara mengangkat sumpah.
Tiada tempoh masa tertentu ditetapkan untuk acara itu.
"Ada sebulan lebih untuk sesiapa yang menang untuk kita tetapkan bila angkat sumpah, supaya ahli parlimen berkenaan boleh mengambil bahagian dalam perbahasan bajet, tetapi saya sudah bersiap sedia untuk segala-galanya," katanya.
Pilihanraya kecil kerusi parlimen ditandingi oleh calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) and Hanafi Hamat (Akim).