kemaskini 7:25pm Bukan hanya di tengah kehangatan kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh kedengaran perkataan “liwat” dan “konspirasi”, satu persembahan teater satira politik buah tangan sasterawan kritis Faisal Tehrani juga berdengung dengan ungkapan seumpamanya.
Persembahan di Universiti Malaya mulai malam ini berselang-seli dengan dialog menyindir peristiwa politik semasa seperti " correct, correct, correct ", "anak ikan umur 23 tahun", "Mongolia" dan "model".
Sementara seorang pelakon lelaki bernama "Rosma" membawa watak seorang pereka kostum yang seumpama "pemuda lembut." (foto, kanan)
Dalam beberapa babak, seorang watak membawa papan tanda "mubahalah" dan "konspirasi" ke atas pentas.
Bagaimanapun teater yang dipentaskan selama lima malam itu bukanlah tentang penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim atau lawan politiknya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Persembahan Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun di auditorium Akademi Pengajian Islam itu sebaliknya menceritakan pergolakan politik era kegemilangan kesultanan Melayu di Melaka.
Pratonton persembahan itu selama 90 minit untuk wartawan diadakan Sabtu lalu di tempat yang sama.
Pengarang prolifik ini memberitahu Malaysiakini hari ini, skrip teater yang dihasilkannya mengisahkan pergolakan dalam istana Melaka antara seorang sultan yang adil, telus dan ingin melaksanakan undang-undang Islam dengan kelompok "liberal-pragmatik" yang diwakili isteri keempatnya Tun Senaja (foto) , bangsawan istana dan golongan saudagar yang berkepentingan.
Ia dipersembahkan melalui lima watak, semuanya lelaki termasuk Tun Senaja, bergelut dalam tempoh dua jam sebelum mementaskan sebuah produksi teater purbawara tentang Sultan Melaka itu.
Faisal atau nama sebenarnya Mohd Faisal Musa menambah, beliau ingin menyampaikan suara rakyat bawahan yang "tidak lagi percaya dengan semua kepimpinan politik" pada masa ini.
Teater itu diadaptasi daripada novel kanak-kanak Nama Beta Sultan Alauddin yang dihasilkannya pada tahun lepas.
Penerbitan Akademi Sinema Amatur Malaysia ini diarahkan oleh pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr
Abu Hassan Hasbullah.
Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun dibintangi oleh atlet olahraga acara lompat berpagar, Robani Hassan dan bintang Jonny Bikin Filem , Zack Idris.
Tiket berharga RM50, RM30 dan RM20 untuk awam dan RM15 untuk pelajar boleh dibeli di auditorium Akademi Pengajian Islam sebelum persembahan bermula jam 8 malam.