Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Cuti umum Selasa rugi, tidak perlu
Diterbitkan:  Aug 24, 2008 11:48 PM
Dikemaskini: 7:04 PM

Keputusan kerajaan Pulau Pinang memberi cuti umum Selasa ini sempena hari mengundi pilihanraya kecil Permatang Pauh bermotif politik semata-mata, kata timbalan perdana menteri.

"Ini pertimbangan politik sebenarnya dan tidak pernah dalam sejarah kita perisytiharan cuti umum dibuat untuk pilihanraya kecil," kata Datuk Seri Najib Razak selepas melawat bilik gerakan BN Mengkuang Titi.

Menurut laporan Bernama , tindakan ketua menteri Lim Guan Eng itu "tidak perlu kerana pilihanraya itu untuk satu kerusi parlimen sahaja" dan bukannya seluruh Pulau Pinang.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata cuti khas itu bagi membolehkan kesemua 58,459 pengundi berdaftar di Permatang Pauh keluar mengundi 26 Ogos ini.

Najib dilaporkan berkata tindakan kerajaan negeri itu "boleh menjejaskan pengeluaran negeri dan menyebabkan banyak kerugian".

Sepatutnya pekerja boleh dibenarkan keluar sejam dua bagi membolehkan mereka mengundi dan menyambung semula kerja selepas itu, katanya.

Najib yang juga timbalan pengerusi BN berkata ia akan berusaha melakukan kejutan politik di Permatang Pauh pada Selasa ini.

Katanya, lapor agensi berita itu lagi, semua orang menjangkakan bahawa calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang tetapi dengan kegigihan jentera BN tidak mustahil kemenangan itu berpihak kepada BN.

Anwar bersaing dengan calon-calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS