Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Tiada 'katak' di Sabah dan S'wak
Diterbitkan:  Aug 20, 2008 11:48 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan bahawa 13 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya nak beritahu, tak ada sebenarnya (yang lompat parti)," katanya ketika berucap di majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina di Kampung Sungai Lembu, di Bukit Mertajam.

Kelmarin, Jeffrey mendakwa 13 ahli Parlimen dari Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Najib, yang juga timbalan pengerusi BN, turut menolak dakwaan terdapat ahli Parlimen BN dari Sarawak yang akan melompat parti, demikian menurut laporan Bernama.

"Tiada katak di Sabah dan tiada katak di Sarawak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan mana-mana pihak yang mendakwa terdapat ahli Parlimen BN yang akan bertindak keluar parti.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyidin Yassin menganggap dakwaan yang dibuat Jeffrey itu adalah sebagai "serkap jarang" dan peperangan psikologi yang dilancarkan bagi memancing undi di Permatang Pauh.

"Ini merupakan perang psikologi mendesak pengundi berpihak kepada mereka (PKR). Kalau betul ada, jangan hanya menyebut jumlahnya tetapi senaraikanlah juga nama-nama mereka yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di jentera pilihanraya kecil Umno cawangan Taman Pauh, di Bukit Mertajam malam tadi.

'Lawan gajah'

Katanya, dakwaan itu yang melibatkan dua ahli Parlimen dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan bakinya wakil rakyat Umno adalah tidak akan berlaku.

"Saya tidak percaya ia akan menjadi kenyataan, itu adalah isyarat untuk mengelirukan pengundi kerana mereka pernah mengeluarkan kenyataan yang sama tetapi tidak satu pun betul," katanya.

Sementara itu, ketika melawat bilik gerakan BN di Tanah Liat, Najib meminta jentera BN untuk berusaha lebih gigih bagi menarik sokongan pengundi terhadap parti itu.

Beliau berkata ketika ini sudah ada tanda-tanda berlakunya perubahan sikap di kalangan pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan inisiatif perlu diambil untuk terus mendapatkan kepercayaan mereka kepada parti.

"Orang kata kita sedang melawan gajah tetapi gajah tidak sentiasa menang dan kita perlu berusaha supaya perkara yang selama ini dianggap mustahil oleh sesetengah pihak akan bertukar menjadi kenyataan iaitu BN mencapai kejayaan," katanya.

Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di situ.

Dalam pilihanraya itu, penasihat PKR menentang calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS