Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar brahim, memberi keterangan berhubung dakwaannya itu kepada Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini.
Dengan memakai baju kemeja berwarna biru dan berseluar hitam serta bersongkok, beliau tiba jaml 10 pagi dengan iringi bapanya, Azlan Mohd Lazim dan peguamnya Zamri Idris.
Mohd Saiful dipercayai dipanggil oleh JAWI bagi memberi keterangan mengenai dakwaan kononnya beliau diliwat pada 26 Jun lalu oleh Anwar yang juga bekas majikannya.
Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lalu.
Saiful berada selama tiga jam di JAWI dan beredar dari situ tanpa disedari oleh para wartawan yang menunggunya.
Saiful berjaya mengelak kira-kira 12 orang wartawan yang menunggu di sekitar pintu di bangunan Jawi.
Tiga jam di JAWI
Apabila Saiful keluar dari jabatan tersebut pada kira-kira jam 1.10 tengahari, dia tidak mengendahkan para media seperti sebelum ini.
Dia ditemani oleh beberapa orang yang tidak dikenali sebelum terus menaiki kereta Proton Waja yang terus beredar dari situ.
Menurut saksi, kelihatan empat lelaki berkaca hitam di dalam kereta tersebut.
Saiful kini dalam perlindungan polis dan tidak diketahui di mana dia berada.
Manakala peguam Saiful - Zamri - juga mengelak dan enggan mengulas mengenai kehadiran Saiful di JAWI.
Sebelum beredar, Zamri hanya berkata, Saiful datang untuk menemui beberapa pegawai JAWI.
Bernama pula memetik Zamri memberitahu pemberita bahawa kedatangan Mohd Saiful ke JAWI bukan berhubung siasatan mengikut kesalahan qazaf.
"Tujuan datang pagi ini untuk bertemu dengan pegawai JAWI. Ini bukan berkaitan qazaf, kita akan maklumkan kemudian," katanya.
Pada 9 Julai lalu, Anwar telah mengadukan isu laporan polis Saiful, kepada unit siasatan, bahagian penguatkuasaan JAWI, mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf (kesalahan bawah jenayah syariah bagi tuduhan palsu).
Angkat sumpah
Penasihat PKR itu dilaporkan sebelum ini sebagai berkata, atas nasihat ulama dan peguam, beliau telah membuat aduan tersebut bagi membersihkan namanya dan keluarganya daripada fitnah jahat dan mengaibkan itu.
Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan."
Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.
Pada 15 Ogos lalu, Saiful mengangkat sumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.
Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Mohd Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Antara yang hadir ialah Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.
Dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel kemudiannya, Saiful mendakwa beliau diliwat secara paksa oleh penasihat PKR itu di kondominium mewah di Damansara.