PKR akan menjalankan siasatan terhadap insiden terbaru serangan ke atas dua jurugambar yang didakwa dilakukan oleh penyokong pembangkang di luar pusat penamaan calon di Permatang Pauh semalam.
Bercakap kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya jangan terus membuat kesimpulan bahawa penyerang mereka adalah ahli parti itu.
Katanya, media perdana seperti RTM (yang dimiliki kerajaan), akan terus menyalahkan PKR.
Sebaliknya, kata Anwar, biarlah insiden itu disiasat dan mereka yang terlibat dihukum, tanpa mengiri sama ada dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional (BN).
Anwar yang bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini, mengadakan sidang akhbar selama 45 minit di bangunan Yayasan Aman di Permatang Pauh pagi tadi.
Bangunan tersebut menjadi bilik gerakan utama PKR dalam pilihanraya kecil kali ini, di mana Anwar sedang berusaha untuk kembali semula ke Parlimen selepas 10 tahun.
Merujuk kepada insiden semalam, Anwar berkata, siasatan yang dijalankan kemudiannya, mendapati mereka yang bertanggungjawab melakukannya, tiada kaitan dengan parti itu.
Namun, katanya, walaupun penyerang terbabit bukan ahli PKR, tetapi beliau dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail telah memohon maaf kepada mangsa, sebagai mengiktiraf kepentingan media.
'Bidas wartawan'
Anwar berkata, kesalahan itu terletak pada media perdana kerana menyiarkan satu kes yang berat sebelah, bukan itu sahaja, tetapi berniat jahat (terhadap PKR)," katanya sambil menjelaskan secara panjang lebar bagaimana pihak media tidak bersikap tidak adil terhadapnya dan pembangkang.
Beliau juga membidas seorang wartawan dari Berita Harian - akhbar yang ada kaitan dengan Umno - apabila dia bertanya sama ada budaya 'samseng' kini wujud dalam PKR.
Menurut Anwar, Berita Harian berkata budaya samseng itu wujud dalam PKR, tetapi tambahnya, apabila (naib ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin dan penyokongnya membaling botol, mereka tidak dipersalahkan.
Mantan timbalan perdana menteri itu berkata, itulah budaya Berita Harian yang mesti diperbetulkan.
Semalam, j urugambar kumpulan Akhbar New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan seorang jurugambar agensi berita asing cedera dipukul sekumpulan penyokong parti politik sewaktu proses penamaan calon.
Menurut laporan Bernama, jurugambar NSTP itu dikenali sebagai Mohd Sairen Mohd Nafis, 26, dan manakala jurugambar agensi asing itu dikenali sebagai Halim Berbar.
Mohd Sairen memberitahu pemberita bahawa kejadian itu berlaku pada jam 1.30 tengah hari tadi, ketika beliau sedang merakamkan gambar petugas BN dalam kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, mereka mereka berjaya diselamatkan oleh pihak polis yang menyedari kejadian itu,.
Mohd Sairen cedera di bahagian tangan dan badan serta kehilangan kamera digital yang bernilai RM15,000 yang dipercayai dilarikan oleh kumpulan terbabit.
Pada awal bulan ini, jurugambar akhbar Guang Ming Daily, Loh Hooi Hoon dikasari oleh sekumpulan lelaki dipercayai penyokong PKR semasa membuat liputan ceramah penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seberang Jaya.
Sementara itu, polis berkata, mereka masih dalam proses mengenalpasti penyerang dua jurugambar berkenaan tetapi belum ada tangkapan dibuat.
Pegawai perhubungan awam polis Pulau Pinang, Shaharon Anuar Abdul Latif memberitahu satu sidang akhbar di balai polis pusat Seberang Perai hari ini bahawa pihaknya menerima dua aduan berhubung insiden tersebut.
Beliau berkata, terdapat lima orang saksi yang melihat insiden tersebut. Berita asal