Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 9:25pm Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa beliau diliwat secara paksa oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di kondominium mewah di Damansara.

Dakwaan itu diumumkan di sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas mengangkat sumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada jam 6.30 petang tadi.

Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Mohd Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Antara yang hadir ialah Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Mohd Saiful mengangkat sumpah di Dewan Solat Utama dengan menghadap kiblat dan mengucap dua kalimah syahadah.

"Saya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan nama Allah saya bersumpah saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 dan pada hari tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

"Jika saya berdusta dengan perkara ini, saya berdusta dengan Allah SWT dan akan dilaknat oleh Allah SWT sehingga hari kiamat."

saiful bukhari azlan and anwar ibrahim sodomy 2 pc 150808 06 Dalam sidang akhbar di sebuah hotel kemudiannya, Saiful berkata, beliau menafikan tindakannya itu bermotifkan politik.

Ini adalah kali pertama beliau muncul di khalayak ramai sejak membuat laporan polis pada 28 Jun lalu, mendakwa, dia diliwat oleh Anwar.

Saiful memberitahu pemberita bahawa dia bersumpah dengan al-Quran hari ini, selepas mengumpul kekuatan untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun, enggan menjawab sebarang soalan mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini, Saiful dilaporkan telah menemui Najib di kediaman timbalan perdana menteri sebelum membuat laporan polis.

Saiful turut menayangkan di sidang akhbar tersebut video selama dua minit menunjukkan dia mengangkat sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan petang tadi.

Saiful berkata, dakwaan diliwat Anwar itu adalah yang pertama berlaku ke atas dirinya dan dia tidak pernah diliwat sebelum ini.

"Dengan ini saya mencabar Anwar bin Ibrahim bersumpah dengan cara sebenar-benarnya Islam dengan melakukannya di masjid dengan disaksikan oleh ulama dan mufti serta seluruh rakyat Malaysia bagi

menafikan dakwaan saya adalah tidak benar," katanya lagi.

saiful bukhari azlan and anwar ibrahim sodomy 2 pc 150808 08 father azlan mohd lazim Saiful ditemani oleh bapanya Azlan Mohd Lazim (foto kanan) dan peguam Zamri Idrus ketika menghadiri sidang akhbar selama 10 minit itu.

Anwar, yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan mendakwa ia perbuatan musuh politiknya untuk menyekat beliau kembali semula aktif dalam politik.

Sebelum ini, penasihat PKR itu telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful.

Menurut kertas pertuduhan terhadapnya, Anwar didakwa melakukan jenayah tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berikut adalah kenyataan yang dibaca oleh Saiful:

Saya rasa telah tiba masanya untuk saya menunaikan tanggungjawab saya sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia bagi menegakkan hak dan menidakkan yang batil. Saya dengan ini telah bersumpah dengan nama Allah di Masjid Wilayah Persekutuan petang tadi mengikut cara yang dituntut oleh agama Islam, sepertimana yang telah dinasihatkan dan ditunjuk ajar oleh ulama dan mufti berkenaan saya telah diliwat oleh Anwar bin Ibrahim.

Akad sumpah ini saya lakukan dengan kerelaan saya sendiri yang datangnya dari lubuk hati saya yang mendalam bagi menegakkan kebenaran sebagai seorang yang beragama Islam, berbangsa Melayu dan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Saya juga amat memahami bahawa sumpah dengan nama Allah ini, jika ia tidak benar dan merupakan satu ciptaan saya semata-mata atau mana-mana pihak, maka saya akan dilaknat, ditimpa malapetaka dan bencana kepada saya, serta keluarga, keturunan saya selamanya oleh Allah SWT.

saiful bukhari azlan and anwar ibrahim sodomy 2 pc 150808 07 Saya melakukan sumpah dengan nama Allah SWT kerana mahu membuktikan bahawa dakwaan saya amat benar dan oleh kerana itu, saya amat berani bersumpah. Ini jalan terbaik bagi saya mendapat

keadilan di dunia dan akhirat dan mengembalikan maruah dan harga diri saya di mana hanya kepada Allah SWT tempat saya mengadu.

Saya melakukannya kerana Allah SWT. Saya bersumpah di dalam rumah Allah yang mulia tadi bahawa saya telah diaibkan dan diliwat oleh majikan saya Anwar bin Ibrahim dan saya tidak memilih berdolak

dalih dengan pelbagai alasan serta penipuan kepada seluruh masyarakat tentang isu dakwaan liwat saya ini seperti yang dibuat oleh Anwar bin Ibrahim.

Dengan ini saya mencabar Anwar bin Ibrahim bersumpah dengan cara sebenar-benarnya Islam dengan melakukannya di masjid dengan disaksikan oleh ulama dan mufti serta seluruh rakyat Malaysia bagi

menafikan dakwaan saya adalah tidak benar.

Sesi soalan jawab

Wartawan: Waktu angkat sumpah siapa saksi?

Peguam Zamri Idrus: Semua imam-imam Masjid Wilayah Persekutuan.

Wartawan: Ke mana hilang selama ini?

Mohd Saiful: Saya bukan menghilangkan diri tetapi mendiamkan diri untk mengumpulkan kekuatan kerana saya telah difitnah, dengan macam-macam, terutamanya sekali oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi itulah alasan saya.

Wartawan: Kenapa Saiful pilih hari ini dan di Masjid Wilayah Persekutuan?

Mohd Saiful: Saya telah lama berniat nak buat ini tetapi ia perlukan satu kekuatan mental dan juga rohani kerana bersumpah ini bukan sesuatu yang mudah dan boleh dibuat secara suka-suka kerana akibatnya dia boleh dilaknat. Alhamdulillah, Allah SWT telah memberikan saya kekuatan dan saya bersumpah pada hari ini.

Wartawan: Adakah kerana esok penamaan calon di Permatang Pauh.

Mohd Saiful: Tidak, tidak, sama sekali.

Wartawan: Bagaimana perasaan Saiful lepas bersumpah?

Mohd Saiful: Alhamdulillah, saya berasa lega dan buat pertama kalinya saya dapat memberanikan diri dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk berdepan dengan para wartawan.

Wartawan: Kamu bercadang berkempen di Permatang Pauh?

Mohd Saiful: This is not a political matter (ini bukan satu perkara politik), ini adalah dakwaan kes peribadi antara Anwar Ibrahim dan saya.

Wartawan: Tetapi ingat, tuduhan ke atas Anwar adalah suka sama suka?

Mohd Saiful: Saya ingin tegaskan di sini bahawa perkara itu berlaku tanpa kerelaan hati saya.

Wartawan: Ada yang kata lebih daripada sekali.

Mohd Saiful: Itu saya akan beri keterangan di mahkamah.

Wartawan: Betul kamu buat pemeriksaan di Pusrawi?

Mohd Saiful: Itu saya akan jawab di mahkamah.

Wartawan: Kenapa pada mulanya kamu pergi ke Hospital Pusrawi?

Mohd Saiful: Itu keterangan di mahkamah nanti.

Wartawan: Tapi betul Saiful pergi ke Pusrawi hari itu?

Mohd Saiful: Keterangan di mahkamah. Saya akan bagi keterangan. Dan iyalah, saya bukan seperti Datuk Serri Anwar Ibrahim ingin melaksanankan media trial, jadi saya akan memberikan keterangan saya dan bekerjasama semasa di mahkamah nanti.

Wartawan: Ini kali pertama kamu diliwat?

Mohd Saiful: Ya, pertama kali.

Wartawan: Besok penamaan calon, kenapa hari ini... saya harap kamu faham. Saya bukan nak buat apa-apa, tanya saja.

Mohd Saiful: Saya faham, secara kebetulan saja. Kalau nak ikutkan kita pun tak tahu Anwar akan bertanding. Laporan saya itu pun 28 Jun, kita tak tahu dia akan bertanding bila. Tetapi saya ingin tegaskan di sini, saya memerlukan kekuatan dan alhamdulillah Allah SWT memberikan saya kekuatan untuk mengadakan sumpah hari ini. Dan hari ini hari Jumaat, hari yang sangat dirahmati Allah SWT.

Wartawan: Anwar kata masa itu dia ada saksi dan dia tak pernah keseorangan dengan Saiful pada masa tersebut.

Mohd Saiful: Itu kita tengoklah di mahkamah nanti.

Wartawan: Benar kamu buat laporan polis? Kamu ada salinan laporan polis?

Mohd Saiful: Saya nak tegaskan di sini, saya buat laporan polis 5.30 tetapi saya tengok dalam 6.30 dah terpapar di SMS dan lamanweb. Saya tidak tahu kenapa. Dan saya sendiri yang menulis laporan

polis tersebut.

Wartawan: Adakah kamu bertemu Datuk Najib?

Mohd Saiful: Itu saya akan jawab di mahkamah.

Wartawan: Kalau Anwar melakukan sumpah, apa pandangan kamu?

Mohd Saiful: Ok tidak apa. Saya telah melakukan tanggungjawab saya. Saya sudah lakukannya. Jikalau beliau hendak lakukan, terpulang kepada beliau sebab ia bukan tentukan sama ada salah atau tidak. Kita tengok di mahkamah nanti.

Video angkat sumpah ditayangkan.

Mohd Saiful: Jumpa 10 haribulan nanti di mahkamah. Terima kasih.

Mohd Saiful kemudiannya beredar melalui pintu belakang dengan peguamnya dan tidak mahu menjawab lagi soalan wartawan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS