kemaskini 5:24pm Kerajaan dayus jika tidak mengambil tindakan terhadap Majlis Peguam yang sering menganjurkan forum isu-isu Melayu dan Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Apa yang saya fikir, yang paling jelas adalah Akta Hasutan. Saya fikir itu cukup jelas. Dan dua kali mereka (Majlis Peguam) telah buat forum terbuka.
"Dan sekali lagi dia buat, saya fikir, kita jangan dayus untuk tidak mengenakan Akta Hasutan kepada pemimpin berkenaan," katanya kepada media sebagai mengulas desakan agar pemimpin Majlis Peguam dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Hasutan selepas menganjurkan forum "Memeluk Islam", Sabtu lalu.
Forum kontrak sosial anjuran majlis itu hujung Jun lalu turut mengundang pertikaian kumpulan Melayu di negara ini.
Beberapa pihak termasuk Umno, PAS dan Persatuan Peguam Muslim mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap Majlis Peguam dengan alasan forum tersebut telah mencetuskan kekecohan.
Selain mendesak kerajaan mengambil tindakan menggunakan ISA, sesetengah pemimpin termasuk Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dilaporkan mencadangkan penggunaan Akta Hasutan.
Dalam ucapan sewaktu merasmikan program Himpunan Pelajar Melayu Merdeka di Shah Alam pagi ini, Dr Ahmad Zahid juga menyifatkan badan profesional guaman itu sebagai "kurang ajar" kerana menganjurkan forum yang mencabar isu Melayu.
"Jangan sesiapa berani sentuh Perkara 121 dan 153 dalam perlembagaan, (dalam hal ini) tidak ada kompromi.
"Kenapa mereka kurang ajar? Kenapa Majlis Peguam mahu menyentuh soal kedudukan orang Melayu.
"Melayu itu adalah Islam, Islam itu adalah Melayu dalam perlembagaan di Malaysia," katanya.
Selain mengulas forum kontroversi berhubung Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Dr Ahmad Zahid juga mengecam cadangan Menteri Besar Selangor yang dianggapnya boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu.
"Hentikanlah (sebut perkara-perkara sensitif tentang orang Melayu dan agama Islam) kalau tidak mahu orang Melayu menggunakan perkataan 'amuk' semula, seperti termaktub dalam kamus Oxford dan kamus-kamus lain.
"Saya fikir perkara ini harus dihentikan," katanya.
Ahad lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) agar menerima kemasukan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera untuk meningkatkan lagi kemajuan institusi pengajian tinggi itu.
Mengulas tindakan Abdul Khalid enggan memohon maaf kerana membuat cadangan itu, Dr Ahmad Zahid memberitahu media, beliau senang hati dengan tindakan menteri besar itu supaya Abdul Khalid "boleh membayar harga (cadangan) yang beliau lontarkan itu."
Pemimpin PKR itu juga, tambah Dr Ahmad Zahid, tidak harus menyalahkan pihak media kerana membuat laporan.
"Beliau sebagai pemimpin harus sedar bahawa apa (kata-kata) yang terlontar adalah tanggungjawab beliau (sendiri). Jangan salahkan media dalam perkara ini," katanya.
Mengulas reaksi Abdul Khalid sebelum ini yang menyatakan hasratnya ingin bertemu dan berbincang dengan pelajar UiTM untuk menjelaskan perkara itu, menteri itu berkata:
"Apa perlu bincang. Perkara ini termaktub dalam Akta UiTM sendiri. Saya tidak fikir, oleh kerana UiTM berada di bumi Selangor, maka menjadi haknya mencadangkan perkara itu."
Beliau menyifatkan tindakan menteri besar Selangor sebagai "agenda politik sempit" untuk cuba meraih undi bukan Melayu dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh 26 Ogos ini.
Turut hadir di majlis anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu ialah Naib Canselor UiTM Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah dan presiden gabungan itu Datuk Reezal Merican Naina Merican.
Program itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan GPMS.
Majlis makan malam sambutan itu akan diadakan esok di Kuala Lumpur dan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga bekas presiden GPMS.
Sementara itu, Reezal Merican, dalam ucapannya dalam majlis yang sama memuji "tindakan berani" mahasiswa UiTM membantah cadangan menteri besar itu kelmarin.
"Saya tidak ajar demonstrasi, tetapi kita pertahankan hak kita," katanya, yang juga setiausaha politik Abdullah di Kementerian Kewangan.
Dalam perkembangan lain, menjawab soalan pemberita tentang implikasi undang-undang jika bekas pembantu khas penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah dengan nama Allah, Ahmad Zahid berkata:
"Daripada segi implikasi perundangan tidak perlu difikirkan, tetapi itu daripada segi hukum Allah (mesti) dihormati."
Beliau berkata, setelah lima kali bersumpah dengan kaedah bermubahalah, sumpah terakhir adalah sumpah laknat, kebenaran perkara itu harus diserahkan pada Allah.
Pada 21 Jun lalu, Mohd Saiful berkata beliau sanggup bersumpah secara Islam bagi menegakkan kebenaran dakwaannya selepas polis menyelesaikan siasatan mereka.
Anwar dihadapkan ke mahkamah minggu lepas susulan laporan polis yang dibuat oleh pemuda itu pada 28 Jun mendakwa beliau diliwat oleh bekas majikannya itu.
Mahkamah menetapkan kes itu disebut pada 10 September depan di Mahkamah Tinggi untuk menentukan tarikh perbicaraan.