Kerajaan menjanjikan 'buah tangan' untuk rakyat dalam pembentangan Bajet 2009 pada 29 Ogos ini.
"Ada buah tangan untuk rakyat. Kita faham rakyat tertekan dengan keadaan sekarang. Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengar masalah rakyat," katanya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Berucap di najlis pelancaran jentera pilihanraya BN bagi Parlimen Permatang Pauh, malam tadi, beliau berkata, kerajaan sedang menimbang mekanisme yang sesuai bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga bahan api.
Sehubungan itu, Bernama memetik Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN sebagai berharap rakyat tidak terpengaruh dengan janji pembangkang untuk menurunkan harga minyak sekiranya berjaya memerintah negara.
"Satu dunia mengalami kenaikan harga minyak, jadi tidak logik kalau kita nak turunkan harga minyak dengan menggunakan keuntungan daripada Petronas," katanya.
Di majlis pelancaran itu, Najib turut mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini. Hari penamaan calon ialah Sabtu ini.
Najib berkata tidak mustahil untuk berlaku perubahan politik di Permatang Pauh berdasar keadaan politik yang sentiasa berubah dan sukar diramal.
"Pada 2004 ia (pendulum jam besar) bergerak ke kanan dan kita menang besar, pada 2008 malangnya ia bergerak ke sebelah kiri pula, kita kecundang termasuk di negeri Pulau Mutiara ini," katanya.
Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan pengunduran penyandangnya, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.