Kira-kira 300 pelajar kejururawatan di Kolej Masterskill di Cheras, Kuala Lumpur mengadakan demonstrasi membantah tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa memotong jumlah pinjaman mereka.
Mereka berhimpun mulai jam 10 pagi di dalam kawasan kampus sambil melaungkanr rasa tidak puashati mereka terhadap tindakan PTPTN itu.
Malaysiakini difahamkan, PTPTN telah membuat potongan berganda terhadap bayaran insurans yang dikena ke atas pinjaman mereka.
Difahamkan juga, setiap pelajar terbabit masing-masing mendapat RM54,000 hingga RM60,000 untuk mengikut pengajian kejururawatan peringkat diploma selama tiga tahun.
Mereka berhimpunan sehingga jam 4.30 petang apabila pegawai PTPTN datang ke kolej tersebut untuk memberi penjelasan kepada pelajar terbabit.
Selepas mendengar penjelasan selama kira-kira sejam dari pihak PTPTN, pelajar terbabit kemudiannya bersurai.
Dua anggota polis kelihatan memasuki kampus kira-kira jam 1.30 tengahari tadi untuk memantau keadaan di situ.