Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata tindakan meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman blog 'Penarik Beca' adalah satu percubaan untuk menghasut orang ramai membenci polis.
Polis telah menahan penulis blog tersebut, Abu Bakar Mohd Rashid, 50, Selasa lalu.
Bercakap kepada pemberita di ibunegara hari ini, Musa berkata polis yang memandang serius cubaan itu akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencemar imej dan kredibiliti pasukan itu.
Penulis blog "Penarik Beca" itu ditahan di rumahnya pada pukul 10 malam Selasa lepas di Taman Koperasi Polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, demikian menurut laporan Bernama .
Penulis itu, yang juga dikenali Bakar Haq, kemudian dibawa dan disiasat di ibu pejabat polis bahagian jenayah perdagangan, Kuala Lumpur.
Difahamkan, Abu Bakar yang ditahan reman semalam, akan dibebaskan petang ini.
Musa juga ditanya mengenai dua dakwaan kes penyelewengan dalam PDRM yang kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Musa berkata ia adalah satu proses biasa bagi mencari kebenaran.
Beliau berkata kadang-kadang aduan yang dilakukan itu berbentuk tohmahan.
Bagaimanapun, katanya, sebagai sebuah organisasi yang berperanan sebagai penguatkuasa undang-undang dan menjaga keamanan, setiap aduan itu perlu disiasat bagi mencari kebenarannya.
"Biasalah, ada yang tak suka polis ni buat tohmahan macam-macam, ada tohmahan yang betul dan ada yang tak betul. Kalau betul akan dibawa ke mahkamah," katanya.