Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pelanggannya itu memang berada di kondominium Desa Damansara pada masa dakwaan berlakunya liwat, tetapi ketua umum PKR itu berada di sana kerana mengadakan pertemuan dengan beberapa orang.

Menurut peguam Sankara Nair hari ini, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan "kira-kira lima orang" - yang merupakan satu alibi terbaru bagi pemimpin pembangkang tersebut

Beliau berkata, pihaknya mempunyai alibi yang jitu dan "kita telah memberi alibi (dan nama mereka) kepada pihak polis sewaktu siasatannya".

Sankara memberitahu demikian kepada pemberita selepas Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Katanya, Anwar berada bersama mereka kerana mengadakan pertemuan di rumah (unit kondominium).

Ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Sankara berkata Anwar tidak pernah menafikan yang beliau pernah pergi ke kondominium tersebut.

Unit tersebut, katanya, adalah milik rakan ketua umum PKR itu.

Sankara mengesahkan bahawa kenyataan mereka yang berada bersama Anwar ketika itu - dan kini adalah alibinya - telah dirakamkan oleh pihak polis.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, adalah antara mereka yang menghadiri pertemuan tersebut.

Saiful, 23, bekas pembantu Anwar, mendakwa telah diliwat oleh ketua umum PKR itu.

pertuduhan terhadap anwar ibrahim 070808 Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Menurut kertas pertuduhan terhadapnya (lihat carta), Anwar didakwa melakukan jenayah tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Pada 2 Julai, Anwar juga memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak pernah menafikan telah pergi ke kondominium mewah itu, tempat di mana Saiful mendakwa dia diliwat.

Mengulas lanjut mengenai kes Anwar itu, Sankara berkata, pasukan peguam mantan timbalan perdana menteri itu mempunyai pembelaan yang kuat bersama dengan alibi serta satu laporan perubatan yang mendapati tiada tanda-tanda Saiful diliwat.

Sankara juga berkata, pihaknya belum lagi menerima salinan laporan polis Saiful.

Dengan adanya bukti-bukti tersebut, Sankara menyuarakan harapannya, pihak pendakwaraya akan menggugurkan kes tersebut.

“Kita mahu melihat bagaimana mereka (pihak pendakwaraya) akan menjalankan pendakwaan dan kita harap mereka akan menggugurkan kes tersebut," katanya. Berita asal


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS