Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan berdebat mngenai isu-isu semasa pada 20 Ogos ini.
Mereka pernah berdebat pada 10 tahun lalu ketika kedua-duanya merupakan pemimpin pemuda parti masing-masing.
Jurucakap parti Gerakan memberitahu Bernama, debat anjuran portal berita, Agenda Daily itu akan dipanaskan dengan isu-isu semasa, terutama di Pulau Pinang.
Katanya portal berita itu sedang menyediakan format, lokasi dan tema debat, yang telah diperkatakan sejak minggu lalu.
"Beliau (Koh) telah memutuskan sebentar tadi untuk mengadakan debat itu. Beliau sangat teruja untuk berhadapan dengan Lim, yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP," katanya.
Katanya tarikh itu telah disahkan, tetapi belum lagi diketahui sama ada ditetapkan sebatang syarat lain.
"Lim telah bercakap kepada media terlalu banyak dan telah mengelirukan rakyat. Sekarang, ini peluang Gerakan itu bertindakbalas terhadap propaganda DAP," katanya.
Dokumen kes
"Kami akan membiarkan orang ramai untuk memutuskan sama ada Lim hanyalah tin kosong yang sekadar membuat bunyi bising," katanya.
Baru-baru ini, Dr Koh, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mencabar Lim untuk berdebat mengenai dakwaan isu penyelewengan tanah jika Lim membuat cabaran secara rasmi.
Pada masa yang sama, Dr Koh berkata beliau mahu debat itu diadakan secara adil dan diadakan selepas mahkamah selesai mendengar kes itu.
Koh juga meminta semua fail dan dokumen mengenai kes itu yang disimpan di pejabat Ketua Menteri dan jabatan kerajaan negeri diubah status dan diberikan kepadanya untuk beliau bersedia menghadapi debat itu.
Bagaimanapun, dengan perkembangan terkini hari ini, semua syarat seperti telah diketepikan untuk debat diadakan tidak lama lagi.
Sementara itu, Lim ketika dihubungi Bernama malam tadi, berharap Dr Koh tidak akan meletakkan sebarang syarat untuk debat pada 20 Ogos itu, dan berkata ia sepatutnya mengenai isu penyelewengan tanah di Pulau Pinang.
"Apa yang rakyat mahu tahu adalah berkenaan penyelewengan tanah. Jika anda mahu berdebat mengenai isu-isu lain, ia tidak mencapai matlamatnya," katanya.
Berlangsung di Shah Alam
Sementara itu, editor Agenda Daily , Hanafiah Man memberitahu Bernama. debat tersebut akan berlangsung di Shah Alam, dan tempatnya akan diumumkan kemudian.
Katanya, debat tersebut juga akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen milik Kumpulan Media Prima.
Hanafiah berkata, ia akan menyentuh pelbagai isu semasa dengan menumpukan kepada isu di Pulau Pinang, termasuk isu "kontroversi penipuan tanah" yang sedang dibicarakan di mahkamah.
"Kedua-dua pihak bersetuju dengan lokasi itu (Shah Alam). Mereka bersetuju yang debat itu diadakan dalam Bahasa Malaysia, berdasarkan format debat presiden AS dan Datuk Johan Jaafar sebagai perantaranya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, mereka masih belum mencapai kata sepakat mengenai tajuk debat itu walaupun mereka bersetuju yang topiknya ada mengenai isu semasa dan berkaitan Pulau Pinang, katanya.
Sementara itu, seorang pembantu khas Dr Koh memberitahu Bernama bahawa bekas ketua menteri Pulau Pinang itu bersetuju dengan desakan Lim supaya "isu penipuan tanah" itu dimasukkan dalam debat itu.
"Ini bermakna mereka boleh bincangkan apa juga isu semasa termasuk isu tanah. Ini merupakan pendirian terkini Gerakan," kata pembantu khas itu.
Bulan lalu, Agenda Daily menganjurkan debat terbuka antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu minyak di Dewan Bahasa dan Pustaka.