Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petugas PKR nafi serang jurufoto
Diterbitkan:  Aug 6, 2008 10:44 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Angkatan muda PKR Pulau Pinang menafikan unit keselamatannya terlibat dalam insiden serangan terhadap seorang jurufoto wanita akhbar berbahasa Cina seperti dilaporkan semalam.

"AMK Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa pemuda yang mencekik leher wartawan terbabit bukan daripada Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat.

"Berdasarkan gambar yang tersiar di dalam web akhbar terbabit, pihak AMK dapati pemuda terbabit tidak memakai pakaian rasmi AMK negeri atau petugas AMK negeri," kata pengerusi unit keselamatan pergerakan itu Aidi Rafizul Idrus.

"Unit keselamatan AMK Pulau Pinang yang berada di sekitar kawasan terbabit turut cuba meleraikan kekecohan yang berlaku."

Loh Hoay Hoon, jurugambar harian Guang Ming Daily , dilaporkan diserang oleh sekumpulan lelaki selepas ceramah penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seberang Jaya, Pulau Pinang hujung minggu lalu bagi mengumumkan akan bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Beliau didakwa dicekik, dipukul di bahagian kepala dan ditendang.

Persatuan Wartawan Foto Cina Malaysia (MCPA) bercadang memulaukan semua program PKR sebagai membantah tindakan petugas parti itu.

Dalam satu kenyataannya semalam, satu-satunya persatuan wartawan foto di negara ini berkata insiden terbaru itu menunjukkan PKR gagal mengawal petugas-petugasnya walaupun aduan kekasaran terhadap pekerja media pernah dibuat sebelum ini.

Aidi Rafizul menambah, pihaknya telah memberikan taklimat kepada petugas-petugas untuk memberi ruang dan kerjasama kepada para wakil media dan berharap media bekerjasama bagi melancarkan perjalanan programnya.

"Unit keselamatan AMK Pulau Pinang terpaksa mengawal dengan ketat keselamatan Anwar dan keluarganya setelah ceramah berakhir kerana menerima maklumat daripada petugas-petugas unit keselamatan AMK bahawa terdapat beberapa orang yang mencurigakan dan atas faktor keselamatan Anwar dan keluarga, peningkatan kawalan keselamatan perlu disegerakan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

"Kami memohon maaf terhadap wakil-wakil media yang merasakan pihak keselamatan tidak memberi kerjasama kepada mereka, namun

pihak penganjur kali ini telah berusaha menyediakan kawasan yang lebih selesa untuk wakil media membuat liputan."

"Sekali lagi unit keselamatan AMK menafikan pemuda yang kelihatan di dalam gambar yang menyerang wartawan tersebu petugas keselamatan Angkatan Muda Keadilan Negeri Pulau Pinang."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS