Kumpulan wartawan dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada dekat rumahnya hari ini panik – bukan kerana kehadiran pasukan polis yang diura-ura bakal menangkapnya, tetapi gara-gara sebuah van Poslaju hampir terbalik depan pintu pagar rumah itu.
Kejadian itu menyebabkan beberapa wartawan dan petugas PKR yang berada di situ bergegas menahan van tersebut daripada terbalik sewaktu memberikan laluan kepada sebuah kereta yang melalui jalan sempit depan rumah Anwar di Bukit Segambut.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu dipercayai akibat jalan masuk ke rumah Anwar agak tinggi sehingga ia hilang keseimbangan dan tayar belakang sebelah kirinya terangkat.
Sewaktu kejadian, pemandu mengalihkan van itu betul-betul berdekatan pondok pengawal semasa menunggu seorang lagi kakitangan Poslaju menyerahkan bungkusan di rumah penasihat PKR.
Sehingga jam 4.30 petang, kira-kira 30 wartawan dan jurugambar mula berkumpul di luar rumah Anwar.
Kumpulan ini mula menuju ke situ bermula jam 2.30 petang lagi apabila tiba-tiba muncul desas-desus terbaru di kalangan pegawai pentadbiran dan pemimpin PKR bahawa Anwar mungkin ditahan.
Desas-desus itu muncul selepas polis diura-urakan telah mengeluarkan arahan menangkapnya.
Kebimbangan Anwar ditangkap menghantui PKR sejak munculnya laporan polis terhadapnya berhubung dakwaan meliwat pada 28 Jun lalu.
Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman bagaimanapun dilaporkan menafikan wujud arahan polis tersebut.
Beberapa pemimpin utama parti dilihat mula memasuki kediaman ketua mereka itu bermula jam 3 petang, antaranya Zuraida Kamaruddin (ketua Wanita PKR), serta beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi seperti Khalid Jaafar, Dr Xavier Jayakumar dan Latheefa Koya.
Turut kelihatan memasuki rumah tokoh pembangkang itu, S Manikavasagam (ahli parlimen Kapar) dan Amirudin Shaari (Adun Batu Caves).
Anwar, ahli keluarganya dan naib presiden PKR Sivarasa Rasiah dipercayai berada lebih awal di dalam rumah.
Sivarasa, yang juga peguam Anwar, menafikan khabar angin mengenai tangkapan pemimpin itu yang tersebar luas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sivarasa dipetik agensi berita Bernama menyifatkan ura-ura itu "hanyalah permainan pihak tertentu yang bertujuan mengeruhkan keadaan".
"Saya dan Anwar sendiri tidak menerima sebarang maklumat dari polis dan sehingga kini tiada apa-apa yang berlaku.
"Saya juga tidak tahu siapa dalang sebenar SMS tersebut, yang pastinya tidak dimulakan oleh PKR, tetapi ia mungkin dari pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan hanya mengambil kesempatan," katanya ketika ditemui di luar kediaman Anwar.
Menurut agensi itu lagi, peguam itu berkata Anwar bersiap sedia menghadapi kemungkinan ditahan dan semua perancangan PKR tetap diteruskan seperti dijadualkan.
Penasihat PKR dijadual menyampaikan satu ceramah di Bentong, Pahang malam ini.
Khamis lalu, PKR meramalkan Anwar akan ditahan dalam "tempoh 48 jam" berhubung kes dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi menghalangnya bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.