Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 9:58pm Setelah usianya mencecah enam dekad, PAS kali ini mengadakan muktamarnya ke-54 dalam suasana "kemenangan besar" selepas pilihanraya umum Mac lalu di negeri kelahirannya Perak.

"PAS Perak minta muktamar diadakan di sini untuk mengembalikan nostalgia lama kerana PAS mula ditubuhkan di sini," kata setiausaha urusetia muktamar tahun ini Syed Mohamad Syed Hassan.

PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Bagaimanapun sejarah penubuhannya sering dikaitkan dengan Hizbul Muslimin, sebuah pertubuhan Islam yang radikal menentang Inggeris, yang didirikan di sebuah pusat pengajian Islam terkenal di Gunung Semanggol, utara Perak pada 1948.

Organisasi ini bagaimanapun diharamkan pada tahun yang sama apabila Inggeris memperkenalkan Ordinan Darurat.

Pertemuan selama lima hari di Ipoh - negeri yang kini bermenteri besar wakil rakyat PAS Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin - bermula 13 Ogos dijangka dihadiri lebih kurang 1,000 perwakilan dari seluruh negara.

Penolong setiausaha urusetia muktamar Salman Salleh pula berkata persiapan untuk acara tahunan itu kini di tahap akhir iaitu menyiapkan pentas dan semua bahan persidangan.

Menurutnya, selain perwakilan, 2,500 tempat duduk lagi disediakan untuk pemerhati, penyokong dan ahli PAS mengikuti perbahasan persidangan tersebut.

Urusetia juga menyediakan tayangan perjalanan muktamar melalui layar putih di luar stadium tersebut bagi penyokong yang tidak dapat masuk.

Penganjur menjangkakan kira-kira 15,000 orang akan hadir di muktamar tahun ini.

Salman juga menjelaskan, tetamu yang diundang termasuklah duta-dua, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, majlis perasmian dan ucapan dasar disempurnakan oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 15 Ogos bermula jam 8 pagi di Stadium Tertutup Indera Mulia.

Manakala perbahasan penuh muktamar akan berlangsung di tempat yang sama pada jam 2.30 petang.

Sebelum itu, katanya, tiga sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan mengadakan muktamar mereka berasingan pada 13 dan 14 Ogos.

Dewan Ulama bermesyuarat pada 14 Ogos di Dewan Bandaran, berhadapan dengan Hotel Majestic, Ipoh. Ia akan dirasmikan sendiri oleh ketuanya Datuk Mohamed Daud Iraqi.

Menurut setiausaha Pemuda PAS Ahmad Sabki Yusof, muktamar dewan itu berlangsung pada 13 Ogos di stadium tertutup itu jam 8 malam. Ia akan dirasmikan oleh timbalan presiden PAS Nasaruddin Mat Isa.

Manakala Dewan Muslimat, jelas setiausahanya Aiman Athirah al-Jundi, akan bertemu pada 14 Ogos di Hotel Hill City. Ia akan dirasmikan oleh naib presidennya Mohamad Sabu.

Salman berkata, tema muktamar tahun ini belum dimaklumkan kepada pihak urusetia.

Beliau juga memaklumkan terdapat gerai-gerai untuk berniaga yang buka di sebelah stadium tertutup tersebut.

"Terdapat 100 lot gerai disediakan dan semuanya habis ditempah," katanya.

Selain bermesyuarat, tambahnya, muktamar ini turut diserikan konsert kesenian Islam, forum perdana dan ceramah perdana.

Media rasmi parti itu Harakahdaily.net hari ini melaporkan konsert tersebut bakal membariskan beberapa artis seperti Amy Search, Zuar XPDC dan kumpulan nasyid Saff-One.

Ditanya isu-isu hangat yang akan dibincangkan dalam pertemuan nasional itu, Salman berkata:

"Isu muqabalah dan muzakarah dengan Umno kemungkinan akan menjadi isu hangat yang akan dibincangkan dalam muktamar ini.

"Selain itu, isu tentang keahlian orang-orang bukan Islam (penyokong bukan Islam PAS) akan dibahaskan dalam muktamar kali ini."

Beliau menjelaskan, isu-isu berbangkit bagaimanapun terpulang kepada perwakilan-perwakilan setiap negeri untuk berbahas bergantung pada usul yang dikemukakan.

Ucapan penggulungan muktamar disampaikan oleh Abdul Hadi pada 8 pagi 17 Ogos.

Salman juga menjelaskan, semua organisasi media termasuk Utusan Malaysia - yang dilarang di beberapa sidang media pemimpin Pakatan Rakyat - dijemput untuk membuat liputan sepanjang muktamar ini berlangsung.

"Kemudahan-kemudahan seperti internet dan ruang kerja media membuat liputan turut disediakan," tambahnya.

Beliau berkata, PAS turut menyediakan blog rasmi sempena muktamar di alamat www.muktamarpas54.blogspot.com


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS