kemaskini 2:06pm Timbalan perdana menteri mendedahkan bahawa pembatalan perjanjian kerjasama antara Universiti al-Azhar dengan kesemua 20 kolej Islam di Malaysia akibat pencapaian rendah pelajar Malaysia, terutamanya penguasaan bahasa Arab.
Pembatalan itu dibuat oleh majlis tertinggi al-Azhar yang dipengerusikan oleh al-Imam al-Akhbar sendiri, kata Datuk Seri Najib Razak selepas merasmikan majlis pelancaran program khusus pelajar Malaysia ke Universiti al-Azhar.
Dalam ucapannya sebelum itu, Najib berkata tuduhan yang dibuat selama ini bahawa pembatalan perjanjian itu dibuat oleh kerajaan Malaysia merupakan "tuduhan yang meleset".
"(Kerjasama) itu Universiti al-Azhar yang batalkan. Sebab ada tuduhan kita membatalkannya. Universiti al-Azhar batalkan (perjanjian)," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, universiti tersohor dalam pengajian Islam itu telah "membuka ruang lain" supaya pelajar yang dihantar daripada kalangan pelajar-pelajar yang terbaik.
"Kita kena ambil langkah hantar pelajar yang terbaik. Universiti al-Azhar sudah bagi notis pada kita. Mereka tidak mahu (ambil) pelajar yang pencapaian mereka rendah," kata Najib.
Kelemahan penuntut Malaysia di luar negara itu, menurutnya, disebabkan sesetengah mereka menjadikan universiti itu sebagai "pilihan terakhir".
Mereka juga bukan daripada pelajar-pelajar pilihan, tambahnya.
Penuntut program khusus ini diperkenalkan kelas persediaan selama setahun sebelum menyambung pengajian empat tahun lagi di universiti, kata Najib.
Dalam majlis itu, Najib menyampaikan biasiswa sumbangan Amanah Raya Berhad seramai 20 pelajar pengambilan pertama program khusus ke universiti itu.
Mengulas penguasaan bahasa Inggeris kumpulan itu, Najib berkata, mereka yang terpilih mendapat keputusan baik dalam SPM antara 8A hingga 10A, termasuk pencapaian bahasa Inggeris dan Matematik.
Ditanya tentang dasar pengantar bahasa Inggeris untuk pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah yang sering dipertikaikan banyak pihak, Najib berkata, implikasi dasar itu sedang dikaji.
"Kementerian berkenaan (Kementerian Pelajaran) akan mencadangkan kepada kerajaan (tindakan) selanjutnya," katanya.
Menjawab soalan pemberita sama ada kerajaan akan menurunkan harga minyak mengikut situasi semasa ekonomi dunia, Najib berkata ia "bergantung kepada situasi pasaran".
Kerajaan, tambahnya, membincangkan perkembangan harga minyak global secara mingguan.
Mengulas pendirian PAS semalam menolak kerajaan campuran dengan Umno, sambil berseloroh Najib berkata:
"Macam-macam kenyataan (PAS) yang keluar, tak apalah dulu. Kalau hendak bincang, bincanglah dulu, tak usahlah buat macam-macam kenyataan. Bincanglah."