Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengawal UM didakwa kasari siswa
Diterbitkan:  Jul 31, 2008 10:43 PM
Dikemaskini: 5:48 PM

Seorang pelajar sarjana di Universiti Malaya bersama seorang temannya didakwa telah dikasari oleh sekumpulan pengawal keselamatan kampus itu semalam sewaktu ke perpustakaan.

Cheah Xun Yuan bersama Ng Yong Jin ke bangunan itu kira-kira jam 3 petang apabila dihampiri enam atau tujuh orang pengawal yang tidak berpakaian seragam dan tidak menunjukkan kad identiti mereka, kata satu perkumpulan aktivis mahasiswa.

Dalam kenyataannya hari ini, Gerakan Demokratik Belia dan Mahasiswa Malaysia (Dema) mendakwa Ng yang sedang menunggu Cheah mengambil buku di perpustakaan telah "dimarahi dan dihalang meninggalkan tempat berkenaan."

"Mereka telah memarahi Ng dengan bahasa yang kasar, menendang keretanya dan memukul tingkap keretanya dengan kuat," kata seorang setiausaha Dema, Ong Jing Cheng.

"Salah seorang pengawal keselamatan pula memasukkan tangannya ke dalam kereta Ng melalui tingkap dan telah mematikan enjin kereta. Dia cuba lagi merampas kunci kereta tetapi tidak berjaya."

Cheah pula ditolak oleh seorang pengawal keselamatan sewaktu sedang bercakap dengan mereka berhubung kehadiran Ng di situ, manakala seorang lagi pelajar yang merakamkan kejadian itu dikepung dan dipaksa memadamkan rakaman tersebut, kata Ong lagi.

"Seorang lagi mahasiswa UM yang nampak keadaan yang berlaku telah menangkap gambar keganasan pengawal keselamatan, tetapi dia telah dikepung oleh empat orang pengawal keselamatan, diugut dan dipaksa memadam gambar yang ditangkap," kata Dema.

"Salah seorang pengawal keselamatan memberitahu Ng bahawa dia telah 'disenaraihitamkan' oleh UM. Dia meminta Ng berjanji tidak masuk ke UM lagi sebagai syarat untuk membebaskan dia."

Bagaimanapun, selepas kejadian itu dimaklumkan kepada polis, menurut Ong lagi, pihak berwajib itu berjaya meredakan ketegangan tersebut.

Insiden itu kemudian diadukan oleh Ng kepada polis Jalan Pantai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS