Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ptg Pauh 'agak sukar' bagi BN
Diterbitkan:  Jul 31, 2008 10:35 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengakui Permatang Pauh kubu kuat PKR dan "pilihanraya kecil ini agak sukar bagi BN."

Koh, yang juga pemangku presiden Gerakan, berkata analisis BN telah meramalkan kira-kira sebulan yang lalu bahawa perkara ini akan berlaku.

Dalam kenyataannya kepada Bernama , bekas ketua menteri itu, menambah kerusi parlimen tersebut "memang merupakan kubu kuat Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi itu pada 2004 walaupun ketika itu populariti BN berada di kemuncaknya."

"Memang telah djangka beliau akan memilih Permatang Pauh.

"Kerusi-kerusi lain yang disebut hanya satu taktik untuk mengelirukan. Pilihan raya kecil ini agak sukar bagi BN.

"Kami perlu berjuang dalam pilihan raya kecil ini dengan jujur, secara terhormat dan dengan penuh rendah hati. BN Pulau Pinang perlu melakukan yang terbaik.

"Hanya dengan cara itu kami akan mendapat penghormatan dan sokongan orang ramai," Koh dilaporkan berkata.

Sementara itu, setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata peluang calon BN memenangi kerusi itu adalah cerah berikutan rakyat telah sedar bahawa mereka tidak boleh mengharapkan Pakatan Rakyat untuk membela nasib mereka.

" Insya Allah Umno boleh menang. Rakyat sekarang dah tengok sendiri macam mana Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dan mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak membuat kerja," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti itu akan memberikan sokongan penuh kepada Anwar pada pilihan raya kecil itu kelak.

"Akhirnya Anwar memilih tempat yang sesuai untuk beliau dan sebelum inipun Anwar pernah bertanding di situ.

"Bagi saya, di mana sahaja Anwar bertanding, kami akan memberikan sokongan yang padu," kata Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Menurut Bernama lagi, PKR negeri itu akan mengadakan satu majlis khas lusa untuk mengisytiharkan Anwar sebagai calon dalam pilihanraya kecil itu.

Pengerusinya Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata Anwar dijangka membuat pengisytiharan itu selepas berceramah di hadapan penyokongnya di tapak Ekspo Seberang Jaya, malam itu.

"Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga dijangka menghadiri program itu," katanya seperti dilaporkan.

Zahrain berkata, PKR hanya menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu sebelum menggerakkan kempen dan strategi yang telah diatur.

Katanya, peluang untuk Anwar memenangi kerusi itu cerah kerana kawasan itu memang merupakan kawasan beliau sejak 25 tahun lepas.

"Kalau Wan Azizah boleh menang pada pilihan raya lepas dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengapa pula Anwar tidak boleh, sedangkan itu memang kawasan beliau.

"Kita hanya nak lihat anggota Umno mana yang sanggup bertanding dengan Anwar. Itu yang kita dok tunggu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS