PKR Selangor hari ini mencadangkan kepada Umno agar meletakkan bekas pemimpin kanan parti itu Mohamad Ezam Mohd Nor mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil kerusi Permatang Pauh.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Umno patut meletakkan Mohamad Ezam bertanding berikutan kesediaannya bertanding menentang penasihat PKR itu di mana-mana kawasan parlimen, lapor Bernama .
"Sebelum ini, Ezam dilaporkan sedia bertanding menentang Anwar yang mengumumkan akan bertanding di parlimen Bandar Tun Razak," kata Abdul Khalid, yang juga menteri besar Selangor, selepas majlis ramah mesra bersama media di Shah Alam hari ini.
Minggu lepas, Anwar membayangkan akan bertanding di Kulim-Bandar Baharu.
Sewaktu dihubungi Malaysiakini awal minggu ini, Mohamad Ezam berkata beliau berharap dapat diberikan peluang mencabar bekas ketuanya itu di kerusi parlimen tersebut.
Dalam satu sidang media pada hari yang sama, bekas setiausaha politik Anwar dan ketua angkatan muda PKR itu dilaporkan melahirkan hasratnya mencabar mantan bosnya di Bandar Tun Razak, kini disandang oleh Abdul Khalid.
Anwar petang ini mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen itu yang telah dikosongkan oleh isterinya dan juga presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pagi tadi.
Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.
Dr Wan Azizah menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004 dan dilarang bertanding dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Anwar kelmarin menyatakan kesediaannya bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu tetapi menukar keputusan itu memandangkan petisyen yang difailkan oleh calon BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzi dijangkan memakan masa.
Mengulas sama ada peluangnya terjejas dengan sisatan liwat yang dibuat oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadapnya, Anwar berkata:
"Mereka memancing selama sebulan tetapi tidak mendapat seekor ikan pun. Mereka mungkin dapat buah kelapa dan sangkakan ikan."