kemaskini 10:45pm Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengeluarkan kenyataan bertulisan tangan melalui seorang peguamnya di sebuah hotel besar di Kuala Lumpur.
Kenyataan ini kali pertama dikeluarkan sejak kegemparan kontroversi kes itu sebulan lalu.
Dalam kenyataan ringkas yang dibacakan oleh Zamri Idrus, bekas pembantu penasihat PKR itu berkata "tiada sebab untuk saya memfitnah dan menganiaya Anwar dalam kes ini."
Seperti kenyataan bapanya Azlan Mohd Lazim yang dibaca oleh peguam yang sama minggu lalu, pemuda itu juga menggesa Anwar agar tidak banyak berdolak-dalik.
Mohd Saiful berkata beliau sedang menunggu siasatan polis terhadap Anwar selesai.
"Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan ke atas laporan polis saya tersebut. Saya kini sedang menunggu hasil siasatan daripada pihak polis untuk membawa individu yang terlibat ke muka keadilan," katanya.
Peguam itu enggan mengulas lanjut reaksi Mohd Saiful berhubung laporan perubatan Hospital Pusrawi yang didakwa tidak menunjukkan kesan pemuda itu diliwat.
"Saya tidak mahu menyentuh perkara ini. Bila kita mengatakan itu adalah laporan perubatan, tiada siapa pun yang tahu apa itu sebenarnya. Kami tidak pernah melihatnya," katanya di sidang media di Hotel Nikko petang tadi, sejurus selepas sidang media hospital swasta itu.
Mengulas lanjut maksud "Anwar berdolak-dalik" dalam kenyataan tersebut, Zamri berkata:
"Apa yang Saiful maksudkan ialah telalu banyak laporan dibuat sebagai contoh apa yang tersiar semalam mengenai laporan perubatan (Pusrawi) dan banyak lagi.
"Jadi bagi Saiful, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat. Dan kita tengok apa yang berlaku selepas ini," katanya.
Zamri menjelaskan bahawa Mohd Saiful masih dalam perlindungan polis kerana pemuda itu bimbang tentang keselamatan dirinya.
Beliau bagaimanapun menafikan pergerakan Mohd Saiful dikawal oleh polis.
"Tidak, pergerakannya tidak dikawal oleh pihak polis," katanya.
Ditanya sama ada beliau atau anak guamnya itu dihubungi oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung siasatan mengenai tuduhan qazaf yang diadukan oleh Anwar awal bulan ini, beliau berkata: "Tidak."
Ditanya sama ada kenyataan Mohd Saiful dikeluarkan kerana terbocornya laporan perubatan Hospital Pusrawi, peguam itu berkata ia dibuat untuk beberapa perkara.
Disoal lagi sama ada sidang media itu diadakan selepas menerima arah polis, Zamri berkata pihaknya tidak bertindak bagi pihak polis.
Peguam itu juga menafikan tuduhan Anwar bahawa dakwaan Mohd Saiful itu satu bentuk konspirasi politik.
Beliau juga mengulangi kesediaan anak guamnya untuk bersumpah dengan al-Quran bagi membuktikan dakwaannya diliwat adalah benar.
Zamri juga berkata berat badan Mohd Saiful kini susut dan sedang mengalami tekanan perasaan sejak isu ini muncul tetapi masih bersemangat untuk menuntut keadilan.