kemaskini 9:45pm Hospital Pusrawi hari ini menjelaskan pegawai perubatannya Dr Mohamed Osman Abdul Hamid "tidak memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan berkaitan dengan liwat".
"Dr Mohamed Osman pegawai perubatan Hospital Pusrawi tidak memeriksa pesakit berkenaan berkaitan dengan sodomi," kenyataan hospital itu dipetik.
Dalam kenyataan lima perenggannya, hospital itu juga berkata ia tidak pernah mengeluarkan secara rasmi dokumen pesakit berkenaan seperti yang diedarkan dengan meluas di internet sejak kelmarin.
Ia juga menyatakan Dr Mohamed Osman juga bukan seorang doktor pakar, tetapi seorang pegawai perubatan di klinik kemalangan dan kecemasan Hospital Pusrawi.
"Dr Mohamed Osman telah menasihatkan pesakit itu Mohd Saiful supaya diperiksa lanjut oleh doktor pakar di hospital kerajaan," kata hospital itu.
"Tidak ada pemeriksaan dilakukan selanjutnya berkaitan dengan aduan sodomi."
Kebocoran laporan pemeriksaan tersebut dianggap oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai "bukti" bahawa dakwaan terhadapnya "tiada asas" dan "bermotifkan politik."
Dalam sidang media di hospital itu, pengurus besarnya Wan Mahmood Wan Yaacob (foto, kanan) tidak menolak kemungkinan salinan laporan itu sahih dengan berkata "ia kelihatan sama (dengan salinan asal)."
"Salinan asal ada dengan saya," katanya apabila ditanya beberapa kali kesahihan salinan yang kini disebarkan di internet sejak kelmarin. "Nampak sama tapi tidak sama."
Beliau menambah, Hospital Pusrawi sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran laporan tersebut.
"Tujuan siasatan dalaman, pertama sekali kita mahu sahkan apa yang yang dikeluarkan itu sama dengan apa yang ada pada kita.
"Kedua, kalau betul, kita hendak tengok siapa yang berkemungkinan membocorkan laporan sehingga menyebabkan maklumat tersebut dapat kepada pihak ketiga
Wan Mahmood menjelaskan, doktor yang memeriksa Mohd Saiful kini sedang bercuti selama dua minggu dan dijangka kembali bertugas pada Isnin depan.
Dr Mohamed Osman, tambahnya, mula berkhidmat di Hospital Pusrawi awal tahun ini.
Pengarah perubatan Dr Kamaruddin Ahmad (foto, berbaju putih) di sidang media yang sama berkata Dr Mohamed Osman "seorang doktor yang baik" dan "kewibawaannya tidak dipertikaikan."
Jelasnya, Mohd Saiful pada mulanya mengadu mengalami masalah perut dan kesukaran membuang air besar.
Selepas diperiksa oleh seorang doktor wanita, kata Dr Kamaruddin lagi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman dan kemudian mengadu diliwat.
Menjelas lanjut isu tersebut, Wan Mahmood berkata terdapat dua gaya tulisan tangan di laporan pemeriksaan kesihatan Mohd Saiful kerana dua doktor terlibat.
"Memang ada dua tulisan. Dua tulisan ini saya difahamkan, tulisan pertama, pesakit datang dan hendak berjumpa dengan doktor. Dia dirujuk kepada doktor perempuan yang bertugas pada hari itu.
"Tetapi apabila doktor perempuan ambil kenyataannya (Mohd Saiful) sedikit, sudah tiba waktu untuk pemeriksaan selanjutnya, beliau serahkan kepada doktor lelaki (Dr Mohamed Osman)," katanya.