Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan setuju naik tambang bas
Diterbitkan:  Jul 29, 2008 4:24 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Kerajaan bersetuju tambang bas ekspres dan bas henti-henti seluruh negara dinaikkan tetapi tidak sehingga 100 peratus seperti yang dipohon oleh Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.

Katanya kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos operasi, termasuk harga diesel yang melonjak kepada RM1.43 seliter berbanding 71 sen seliter sejak kali terakhir tambang bas itu dinaikkan pada 2005.

"Peningkatan kos operasi juga disebabkan kenaikan harga barang-barang lain seperti tayar, minyak pelincir dan bateri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi kakitangan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Noh berkata perunding yang dilantik oleh kementerian untuk mengkaji paras kenaikan yang bersesuaian telah menyiapkan kajian itu dan kadarnya baru itu akan diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Sekarang ini kita sedang berunding dengan persatuan supaya terima cadangan daripada konsultan ini," katanya.

Semalam persatuan itu yang diketuai presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali menyerahkan memorandum kepada Majlis Mesyuarat Inflasi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memohon untuk menaikkan tambang bas ekspres dan bas henti-henti sebanyak 100 peratus, seperti yang dituntut oleh persatuan itu pada Mei lalu.

Persatuan itu memberi alasan pengusaha bas kini tertekan berikutan kenaikan harga minyak dan menggesa kerajaan supaya bertindak segera agar mereka dapat beroperasi seperti biasa terutama menjelang musim perayaan.

Noh berkata sistem bagi mengasingkan bas ekonomi dan bas mewah akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi.

Menerusi sistem itu, harga tiket bagi bas ekonomi akan dikawal kerajaan manakala tambang bagi bas mewah adalah terbuka.

"Namun kita akan sentiasa memastikan bahawa pengusaha bas ini akan sentiasa memperuntukkan beberapa bas sebagai bas ekonomi bagi mengelak kekurangan bas jenis ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS