Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini memberi memberi amaran kepada mana-mana pihak, termasuk penulis blog supaya tidak mengganggu siasatan polis dengan menyiarkan bahan atau maklumat yang tidak sah.
"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang sengaja ingin mengganggu siasatan polis. Biar polis yang buat kerja dengan teliti," katanya.
Pada 28 Jun lalu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan bekas majikannya meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara dua hari sebelum laporan polis itu.
Ismail berkata sejak siasatan kes liwat terbabit dimulakan terdapat beberapa pihak yang cuba membuat spekulasi dan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan kes terbabit.
Bercakap kepada Bernama hari ini, Ismail juga berkata, polis tidak pernah melengah-lengahkan siasatan berhubung kes liwat Anwar sejak ia dilaporkan 28 Jun lalu dan sentiasa berusaha mencari maklumat terkini mengenainya.
Katanya polis memberi keutamaan terhadap kes berprofil tinggi itu.
"Kita ingin selesaikan kes ini dengan segera. Pegawai yang menyiasat kes ini tidak putus asa mencari petunjuk baru. Polis sedang lakukan yang terbaik dan kami amat perlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam yang meminta pihak polis menyegerakan siasatan terhadap dakwaan kes liwat Anwar.
Polis juga sedang berusaha mendapatkan beberapa keterangan dan petunjuk penting dalam menyelesaikan kes itu, kata Ismail.