Singapura diminta supaya tidak menguji Malaysia melalui tuntutan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Batu Puteh kerana tindakan itu umpama "menjolok sarang tebuan", kata Menteri Luar Datuk Seri Dr
Rais Yatim.
Katanya, Malaysia akan bertegas dengan republik itu dan jika kenyataan tuntutan EEZ itu diulangi lagi oleh pemimpin republik itu, ia hanya akan mengundang masalah.
"Nak berunding buat cara berunding, tidak payah cabul mencabul, tidak payah "test market" atau uji perairan kita," katanya kepada pemberita di Jelebu hari ini.
Bernama melaporkan Rais berkata beliau sendiri berasa pelik dengan tuntutan Singapura itu yang jelas tidak sepatutnya dikeluarkan semasa pakar-pakar dalam jawatankuasa teknikal kedua-dua negara sedang menyelesaikan isu-isu yang berbaki selepas pulau itu diserahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kepada republik itu.
Jika Singapura masih tidak menerima keputusan Malaysia dan berkeras mahu menuntut wilayah perairan atau ruang EEZ untuk Batu Puteh, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Singapura, katanya.
Bagaimanapun, Rais percaya, tuntutan Singapura itu lebih kepada kenyataan bersifat politik yang telah dikeluarkan oleh Menteri Kanannya, Balaji Sadasivan kelmarin.
Pada 22 Julai lalu, semasa menjawab soalan di Parlimen republik itu, Balaji dilaporkan sebagai berkata Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982, di mana Singapura adalah
salah satu pihak yang menandatangani konvensyen itu.
Balaji berkata jika had perairan wilayah atau EEZ bertindih dengan tuntutan negara-negara jiran, Singapura akan berunding dengan negara-negara itu untuk mencapai persetujuan bagi menetapkan had atau batasan mengikut undang-undang antarabangsa.
Tidak layak
Dan kemudiannya Kementerian Luar Singapura menegaskan bahawa kenyataan Balaji semasa menjawab soalan anggota Parlimen tentang Batu Puteh di Parlimen, bukan merupakan pendirian baru republik ini tentang isu berkenaan.
Kementerian itu berkata, kali pertama Singapura membuat tuntutan tentang sempadan wilayah laut hingga sejauh 12 batu nautika dan zon ekonomi ekslusif itu adalah melalui kenyataan akhbarnya pada 15 September 1980 dan ditegaskan semula dalam satu lagi kenyataannya pada 23 Mei tahun ini selepas ICJ mengumumkan penghakimannya tentang kedaulatan Batu Puteh.
Kebanyakan rakyat Malaysia dilaporkan tidak berpuas hati apabila Singapura mahu menuntut kedaulatan wilayah laut dan zon ekonomi ekslusif di sekitar Batu Puteh berikutan keputusan ICJ Mei lalu.
Rais berkata beliau telah berjumpa dengan menteri luar republik itu dan satu persetujuan telah dicapai untuk terus menghormati asas-asas awal sehinggalah jawatankuasa teknikal itu selesai menjalankan tugas mereka.
Tuntutan EEZ Singapura pada Batu Puteh juga dianggap tidak layak kerana tidak mengikut kehendak UNCLOS, katanya.
"Perairan wilayah dan EEZ adalah pada UNCLOS di mana mengikut Seksyen 121 (3) sesuatu tuntutan tentang EEZ hendaklah mematuhi syarat-syarat tertentu misalnya pulau itu bukanlah sebuah pulau yang boleh menampung kehidupan ekonomi...ia hanyalah batu," katanya.
Jaraknya juga agak dekat dengan Johor iaitu sejauh 7.7 batu nautika dengan di tengah-tengahnya ada kapal berlayar dan mengikut undang-undang, Singapura tidak boleh sesuka hati menukar jalan pelayaran itu jika mahu menjadikan kawasan pulau itu sebagai zon EEZ-nya, katanya.