Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membenarkan kerajaan Terengganu memakai kereta Mercedes tetapi bukan untuk kegunaan barisan exconya.

Keputusan itu diambil dalam pertemuan menteri besarnya Datuk Ahmad Said dengan Abdullah dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak semalam.

"Saya beritahu menteri besar, exco negeri tidak boleh menggunakan Mercedes, tetapi oleh kerana kereta itu sudah dibeli, kalau dijual pun rugi, saya minta ia digunakan untuk tetamu," katanya di sidang media selepas majlis Anugerah Akademik Negara di Putrajaya.

Pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang berjumlah RM3.43 juta untuk kegunaan 10 exco negeri bercanggah dengan amalan biasa yang hanya membenarkan kenderaan nasional Proton Perdana V6 Executive.

Ahmad awal minggu ini dilaporkan meluluskan pembelian kereta Mercedes sebagai kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Kereta Mercedes itu yang berharga RM245,000 sebuah untuk kegunaan 10 anggota exco kerajaan negeri, termasuk menteri besar, dan sebuah untuk speaker Dewan Undangan Negeri.

Sementara tiga lagi untuk setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, di sidang media di Kuala Terengganu pada sebelah pagi, Ahmad enggan mengulas lanjut isu tersebut.

Menurut Bernama , beliau berkata isu tersebut "selesai" selepas pertemuannya dengan dua pemimpin tertinggi negara.

Ditanya sama ada Terengganu dibenarkan menggunakan

kereta Mercedes sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri, beliau meminta media membuat tafsiran sendiri.

"Selesai ikut pandangan kami bertiga, jadi tidak perlu ulas lagi. Tengkoklahperkembangan terbaru... buatlah tafsiran sendiri," beliau dipetik sebagai berkata selepas merasmikan mesyuarat Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri wakil Rakyat (Serikandi).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS