Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu akan membuat laporan polis berhubung kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang dilaporkan terlalu tinggi.
Laporan polis itu akan dibuat oleh Ketua AMK Terengganu Fariz Musa dan timbalannya, Muzafeq Affyulzalfuzam Mohamad di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 11 pagi esok.
Katanya, laporan tersebut akan dibuat supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan terhadap kemungkinan berlaku penyelewengan kos penyelenggaraan kereta tersebut.
"Ia selepas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dua hari lalu berhubung kos penyelenggaran bagi sebuah kereta Proton Perdana mencecah lebih RM 50,000 bagi sebuah kereta," kata Fariz ketika dihubungi hari ini.
Ahmad sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, kenderaan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan anggota Exco dan pegawai kanan sekarang sering menghadapi masalah kerosakan kotak gear dan cakera brek.
Menurut Ahmad lagi, keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian akibat kos penyelenggaraan tinggi sehingga mencecah RM30,000 bagi setiap kali kenderaan itu dihantar ke pusat servis.
Malah, menteri besar Terengganu itu dilaporkan berkata, kelmarin beliau mendapat maklumat lengkap yang menyatakan pihaknya terpaksa mengeluarkan belanja RM69,000 untuk sebuah kenderaan yang diselenggara dalam tempoh dua tahun, hanya kerana perlu tukar kotak gear.
Langkah pertama
Menurut Fariz, terdapat unsur-unsur yang dipertikaikan atau timbul kemungkinan penyelewengan terhadap kos penyelenggaraan kereta tersebut.
"Laporan polis dibuat sebagai langkah pertama untuk meminta polis membuat siasatan," katanya.
Fariz berkata, AMK juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Menurutnya, dalam suasana kegawatan dan kenaikan harga minyak, Ahmad harus bertindak dengan lebih bijak dan berhemah.
"Kerajaan harus berjimat cermat untuk menggunakan wang dan peka dengan keadaan semasa," kata Fariz.
Belliau juga tidak bersetuju kerajaan negeri membeli kereta Mercedes kerana kos pembeliannya sangat tinggi.
Sebaliknya kata beliau, kerajaan negeri perlu menggunakan kereta nasional seperti kerajaan negeri lain selain kosnya yang murah.