Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin atasan PAS diminta telus
Diterbitkan:  Jul 24, 2008 2:50 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Pimpinan tertinggi PAS diminta supaya lebih telus dan berhati-hati dalam menyampaikan maklumat kepada umum, khususnya mengenai isu muzakarah PAS-Umno, agar tidak bercanggah antara satu sama lain.

Ketika membuat gesaan tersebut, Pemuda PAS Johor (DPPNJ) berkata, kalangan pimpinan PAS pusat juga perlu kerap mengadakan aktiviti dan pertemuan supaya apa jua masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Ketua DPPNJ, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya amat berharap agar kemelut isu muzakarah PAS-Umno akan berakhir dengan segera "supaya PAS dapat memberikan tumpuan terhadap perkara yang lebih besar manfaatnya kepada perjuangan."

hadi awang nik aziz 230708 Katanya, DPPNJ telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi untuk membincangkan isu muzakarah di antara PAS dan Umno.

Mesyuarat khas itu diadakan sehari selepas Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan mesyuarat yang sama.

Isu muzakarah PAS-Umno telah mencetuskan perbincangan hangat di kalangan pemimpin PAS, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dilihat bercanggah dalam isu tersebut.

Menurut Khairul Faizi berkata, mesyuarat khas itu juga menyarankan supaya PAS pusat mengadakan taklimat khas presiden kepada seluruh pimpinan PAS - dari peringkat pusat sehinggalah sekurang-kurangnya kepada jawatankuasa harian PAS di peringkat kawasan.

Di samping itu, katanya, DPPNJ juga mahu diadakan ’roadshow’ ke negeri-negeri bagi menjelaskan isu yang berkaitan dengan muzarakah dan Pakatan Rakyat.

Muktamar PAS

"Taklimat Khas Presiden ini perlu diadakan dengan kadar segera sebelum menjelang Muktamar PAS Pusat pada 13-17 Ogos depan," kata Khairul Faizi.

Mesyuarat malam tadi juga, katanya, mengambil keputusan menyokong penuh keputusan pimpinan tertinggi PAS yang sebulat suara menolak muzakarah Umno-PAS dan menolak sebarang dialog kerjasama politik kedua-dua parti.

DPPNJ turut menyokong keputusan Pemuda PAS pusat yang mahukan PAS kekal bersama Pakatan Rakyat.

Di samping itu, ia juga menentang sebarang usaha sekiranya muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokuskan kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan Umno.

Sehubungan itu, katanya, DPPNJ juga telah mengarahkan agar Dewan Pemuda PAS Kawasan mengambil tindakan segera untuk memberikan taklimat di peringkat kawasan agar pemuda PAS tidak terkeliru dengan isu muzakarah tersebut.

ADS