Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Keramat, Ong Thean Lye terkejut apabila mendapati tiga soalan bertulisnya - yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri tahun lalu - diceduk oleh seorang Adun Pakatan Rakyat untuk dikemukakan pada persidangan kali ini.
Bercakap dalam sidang akhbar di luar persidangan hari ini, Ong berkata ayat yang digunakan oleh Adun Pakatan Rakyat berkenaan adalah sama dengan ayat dalam soalannya sebelum ini.
Soalan Ong terkandung dalam buku Susunan Urusan Mesyuarat semasa persidangan pada 19 November tahun lalu, sementara soalan Adun Pakatan Rakyat itu terkandung dalam buku Susunan Urusan Mesyuarat bagi penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri ke-12 yang bermula semalam.
"Saya terkejut apabila mendapati soalan saya tahun lalu diambil bulat-bulat oleh Adun itu.
"Adun itu nampaknya meniru ayat yang sama dengan soalan saya itu. Jika ada yang berbeza pun hanya pada kata sambung 'dan' yang digantikan dengan noktah.
"Bagaimanapun saya bangga soalan itu ditiru kerana ia membuktikan bahawa soalan saya itu adalah berkualiti," kata Ong, demikian menurut laporan Bernama .
Jumlah peruntukan
Ketiga-tiga soalan beliau itu ialah berkaitan dengan perkembangan terkini projek monorel, stesen kenderaan menggunakan gas (NGV) dan jumlah peruntukan yang telah diluluskan kepada Tabung Amanah Sukan pada setiap tahun.
Sehubungan itu, Ong meminta ketua menteri Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP memberi penjelasan mengenai perkara itu memandangkan Adun yang didakwa meniru soalannya itu adalah juga Adun daripada DAP.
Katanya, perbuatan Adun berkenaan jelas bercanggah dengan prinsip baru yang mahu diketengahkan oleh kerajaan negeri iaitu Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan.
Sementara itu Adun Sungai Pinang berkenaan, Koid Teng Guan turut terkejut dan tidak mengetahui bahawa soalan yang disediakan pembantunya adalah sama dengan soalan Ong pada tahun lalu.
"Saya cuma memberikan senarai isu yang hendak diajukan dan selebihnya dilakukan oleh pembantu saya. Jadi saya tidak mengetahui perkara ini," katanya.
Beliau menganggap perkara itu bukan isu besar dan akan mendapatkan penjelasan daripada pembantunya itu.