Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini membenarkan rayuan bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad bagi mengetepikan hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah, lima tahun lalu atas tuduhan berpoligami tanpa kebenaran.
Hakim Syarie Mukhyuddin Ibrahim memerintahkan Abdul Kudus, 45, membayar denda RM300 sebagai ganti kepada hukuman penjara itu.
Abdul Kudus, yang sebelum ini didenda RM700 atas kesalahan sama, turut diperintahkan supaya membayar RM1,000 memandangkan dia belum lagi menjelaskan denda itu, demikian menurut laporan Bernama.
Pada 12 November 2003, Abdul Kudus dihukum penjara dua bulan dan didenda RM700 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini setelah mengaku bersalah atas tuduhan berpoligami tanpa kebenaran.
Abdul Kudus mengaku bersalah bernikah dengan isteri keduanya, Nazariah Said, 31, tanpa mendapatkan kebenaran bertulis dari mahkamah sedangkan ketika itu dia sudahpun mempunyai seorang isteri, Halimah Abd Rahman.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Majlis Agama Islam Wilayah, Songkhla, Thailand selatan, pada jam 5.30 petang, 14 Disember 2002.
Bagi kesalahan itu, Abdul Kudus didakwa mengikut Seksyen 123 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Shamsudin Husin manakala Abdul Kudus diwakili peguam syarie Roslizam Rahim.