Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS bantah konsert Inul
Diterbitkan:  Jul 22, 2008 2:52 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah sekeras-kerasnya konsert Inul Darastista yang terkenal dengan 'aksi goyang pinggulnya' yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil Ahad ini.

"Tindakan membenarkan konsert berkenaan adalah satu penghinaan kepada rakyat kerana sebelum ini, konsert berkenaan telah dibatalkan selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru enggan mengeluarkan permit," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudeen.

inul daratista Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada DBKL dan Kementerian Wilayah memandangkan konsert Inul (foto) tersebut akan berlangsung dalam kawasan pentadbiran DBKL.

"Seharusnya pihak kerajaan peka terhadap kehendak rakyat dan tidak melayani artis ini yang sehingga kini masih ditolak oleh Ulama-ulama Indonesia yang mengganggap aksi goyang pinggulnya sebagai aksi erotik dan berbaur lucah.

"Sebelum ini artis ini juga pernah mengadakan konsert di Stadium Merdeka. Walaupun dibantah oleh Pemuda Wilayah tapi pihak DBKL berdegil.

"Semasa konsert berkenaan berlangsung, Inul tetap mempersembahkan aksi goyang pinggul walaupun beliau berjanji tidak melakukannya," kata Herman dalam satu kenyataan hari ini.

Rakyat tempatan tolak

Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS Wilayah juga ingin mengingatkan semua pihak terhadap aksi tunjuk punggung oleh penyanyi kumpulam Caburator Dung yang dibelasah oleh penonton di Stadium Kelana Jaya sempena Himpunan Protes awal bulan ini.

"Suasana menjadi panas bilamana penganjur gagal mengawal aksi penyanyi berkenaan dan akhirnya diselesaikan dengan cara yang negatif oleh penonton.

"Situasi yang sama tidak mustahil akan berlaku lantaran kuatnya bantahan yang ditujukan terhadap Inul akhir-akhir ini," katanya.

Menurutnya, walaupun apa jua alasan yang diberikan, Pemuda PAS Wilayah mengingatkan bahawa rakyat tempatan menolak konsert ini.

"Rata-rata penonton yang hadir di siri konsert beliau sebelum ini adalah dari kalangan warga Indonesia yang kempunan melihat aksi beliau di tanahair sendiri.

"Jika konsert ini berlaku, maka negara ini akan 'dilacurkan' kedaulatannya bagi melampiaskan keinginannya warga Indonesia yang tidak tercapai di tanahair mereka," tegas Herman.

Oleh itu, katanya, Pemuda PAS Wilayah berharap

agar kerajaan mengambil serius perkara ini bagi menjaga imej negara sebagai anggota Persidangan Negara Islam (OIC).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS