Kementerian Pelajaran "sengaja melengah-lengahkan masa dan bersikap acuh tidak acuh" menukar kembali pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda daripada bahasa pengantar dalam Inggeris sekarang, kata sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO).
Sehubungan itu, 10 NGO tersebut yang semuanya dari Johor bercadang menghantar memorandum pada 4 Ogos depan mendesak kementerian menyegerakannya.
"Kementerian Pelajaran kelihatan seperti langsung tiada apa-apa jalan penyelesaian yang kukuh terhadap pelaksanaan dasar ini.
"Namun, ia tidaklah terlalu janggal kepada kita kerana umum mengetahui bahawa dasar ini (menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar-belajar dua subjek tersebut) merupakan satu keputusan yang dilakukan secara tergesa-gesa, bersifat politik dan tiada perancangan yang sistematik," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan yang bergelar 'Jawatankuasa Bertindak Mengembalikan Bahasa Ibunda dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (JKBI) berkata memorandum itu disertai soal selidik dalam kalangan pelajar dan guru dari sekolah rendah aliran Cina dan Tamil.
"JKBI setakat ini telah berjaya memperolehi sokongan daripada hampir 30 pertubuhan badan bukan kerajaan, persatuan agama, persatuan murid, parti politik dan sebagainya dan sokongan ini telah diterjemahkan oleh mereka dengan menandatangani memorandum yang kami sediakan," kata penyelarasnya Nyam Kee Han, yang juga penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor.
JKBI antaranya menuntut:
menghentikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah dengan serta-merta,
mengembalikan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, dan
menghormati hak asasi rakyat untuk mendapat pendidikan di dalam bahasa ibunda masing-masing.